Pencemaran Visual: Pengenalan Terhadap Isu, Impak Serta Kesedaran Masyarakat Di Malaysia | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Pencemaran Visual: Pengenalan terhadap isu, impak serta kesedaran masyarakat di Malaysia

Pencemaran Visual: Pengenalan terhadap isu, impak serta kesedaran masyarakat di Malaysia

Pemahaman kita terhadap pencemaran alam sekitar pada masa kini secara umumnya dikaitkan dengan pencemaran udara, air, dan juga sisa pepejal. Namun pembangunan fizikal yang semakin pesat terutamanya di kawasan bandar serta aktiviti pertanian yang tidak terkawal secara tidak langsung menyebabkan banyak masalah pencemaran baru yang boleh mendatangkan risiko kepada alam sekitar dan juga manusia. Salah satu pencemaran yang jarang diperkatakan namun mampu memberikan kesan yang negatif ini adalah pencemaran visual (visual pollution). Berdasarkan literatur, pencemaran visual secara asasnya boleh berlaku apabila terdapatnya kombinasi pelbagai elemen samada ianya semulajadi atau bukan semulajadi yang boleh menyebabkan ketidakselesaan pemandangan yang tertentu kepada orang ramai serta individu. Pencemaran visual mula diperkatakan apabila peningkatan trafik kenderaan yang begitu ketara telah mendorong kepada banyak pembinaan lebuhraya antara negeri di Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Ke-2. Pertumbuhan pesat ekonomi telah mengakibatkan pertambahan mendadak papan-papan iklan perniagaan dan akhirnya menjejaskan pemandangan serta landskap unik yang terdapat disepanjang lebuhraya. Isu ini mendapat perhatian awam dan menjadi satu pergerakan politik di Amerika yang akhirnya menjadi pemangkin kepada penggubalan akta pengindahan lebuhraya (Highway Beautification Act) pada tahun 1965.

Image source: scenicamerica.org

Image source: google earth.

Di dalam persekitaran bandar masa kini, pencemaran visual oleh papan tanda dan papan iklan semakin menjadi kebiasaan kerana kemajuan teknologi cetakan dan digital yang membolehkan iklan dipaparkan dengan lebih besar, lebih murah serta ditayangkan dalam tempoh yang lebih lama. Masyarakat bandar mungkin menganggap ianya adalah sesuatu yang normal namun kajian semasa menunjukkan bahawa ianya boleh menimbulkan gangguan terhadap pemanduan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalanraya. Disamping itu ianya turut memberi impak dari psikologi kepada manusia antaranya adalah terhadap tingkah laku pemakanan “diabetogenic” serta pembelian secara kompulsif. Selain disebabkan oleh teknologi, peningkatan pencemaran visual oleh papan iklan di pusat bandar juga boleh dikaitkan dengan tekanan yang dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan pendapatan tahunan mereka. Yuran yang dikenakan untuk mendapatkan permit iklan seperti papan tanda perniagaan, panel, bingkai serta pelbagai lagi jenis kaedah pengiklanan di persekitaran luar boleh menjadi sumber pendapatan yang penting dan kritikal dari segi ekonomi bagi pihak berkuasa tempatan. 

Namun begitu pencemaran visual di Malaysia masih belum begitu banyak diperkatakan secara khusus walaupun terdapat pelbagai isu yang dibangkitkan oleh masyarakat banyak berkait rapat dengannya. Masyarakat umum di Malaysia serta pihak berkuasa tempatan masih belum melihat permasalah pencemaran visual ini sesuatu yang kritikal dan perlu ditangani dengan segera. Tanpa kaedah kawalan yang sesuai serta pemahaman terhadap pengurusan visual yang jelas, isu pencemaran visual ini boleh mendatangkan impak yang sangat negatif bukan sahaja kepada kualiti visual persekitaran semulajadi dan bandar malah juga terhadap kesihatan mental pada pelbagai peringkat umur Masyarakat di masa hadapan. Manakala pada peringkat Persekutuan, isu pencemaran visual ini perlulah diiktiraf serta diberikan penekanan yang sama penting sepertimana jenis-jenis pencemaran yang lain agar ianya dapat dikawal dengan lebih efisien melalui perlaksanaan undang-undang yang lebih khusus.

LAr. Dr. Shamsul Abu Bakar

Pensyarah Kanan
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia

 

Tarikh Input: 19/12/2023 | Kemaskini: 19/12/2023 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEcHAo~