Penggunaan Kompos Dalam Mengembalikan Kesuburan Tanah | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Penggunaan Kompos Dalam Mengembalikan Kesuburan Tanah

Penggunaan Kompos Dalam Mengembalikan Kesuburan Tanah

Di dalam penyelenggaraan landskap, memiliki tanaman yang sihat bermakna kerja yang dilakukan akan menjadi lebih mudah, murah dan dapat mencapai keperluan jangka panjang. Faktor utama bagi mendapatkan tanaman yang sihat dapat dibahagikan kepada dua, iaitu faktor biotik iaitu seperti kawalan perosak dan penyakit seperti serangga, patogen dan rumpai, dan faktor abiotik, iaitu ketersediaan sumber keperluan seperti nutrien, udara dan air, dan pendedahan kepada sinaran matahari.

Memiliki tanah yang subur dan sihat merupakan antara keperluan yang paling utama yang dapat menyelesaikan keperluan tanaman, samada atas kapasiti keperluan biotik mahupun abiotik. Tanah merupakan bahan semulajadi yang dihasilkan secara alami dalam alam sekitar. Kandungan tanah merupakan hasil-hasil dari tindakbalas semulajadi cuaca dan iklim, yang memecahkan bahan bukan organik seperti batuan yang terpecah halus menjadi partikel mineral, dan jugak sisa organik dari hidupan lain. Ianya akan tersusun dalam bentuk lapisan-lapisan yang mempunyai ketebalan yang berbeza  berdasarkan sifat fizikalnya. Salah satu lapisan yang paling penting di dalam tanah, yang telah dikenalpasti oleh saintis sebagai lapisan yang paling banyak memainkan peranan terhadap kesihatan dan kerentenan tanaman kepada penyakit dan perosak ialah lapisan tanah permukaan. Secara purata ianya hanya berketebalan dalam 20-30cm sahaja dari permukaan tanah. Ini lah lapisan tanah yang dikenali sebagai tanah permukaan (top soil). Ianya lebih mudah dikenali melalui warnanya yang lebih gelap, berbanding dengan lapisan yang lain. Dalam sekitaran semulajadi yang sihat, dipermukaan lapisan tanah ini mempunyai satu lapisan yang sangat penting terhadap kesihatan tanaman, hanya berketebalan antara 1-5cm sahaja, yang dikenali sebagai ‘humus’. 

Humus ialah bahan berwarna coklat atau hitam yang terdapat di permukaan tanah. Warna gelap berkenaan adalah hasil dari pereputan sisa organik seperti kayu, daun-daun dan haiwan yang telah mati. Cacing tanah dan serangga kecil sering membantu mencampurkan humus dengan mineral dalam tanah. Humus mengandungi banyak nutrien berguna untuk tanah yang sihat. Salah satu yang paling penting ialah nitrogen, iaitu nutrien paling utama untuk kebanyakan tumbuhan. 

Malangnya kedudukan lapisan humus yang terletak di permukaan tanah sangat mudah untuk terhakis melalui larian permukaan (surface runoff) yang berlaku ketika hujan, juga hakisan melalui bawaan angin. Reka bentuk dan pilihan tanaman landskap yang bersesuaian dapat mengawal masalah ini, namun ianya akan mengambil masa yang agak panjang untuk mengekalkan atau mendapatkan semula lapisan humus ini secara semulajadi.

Salah satu kaedah yang dapat dilakukan bagi mengganti dan mempercepatkan lapisan humus ini terbentuk secara separa semulajadi adalah dengan menggunakan kompos buatan dari sisa hijau yang ditaburkan dipermukaan tanah. Terdapat pelbagai kaedah untuk membuat kompos, sebahagiannya bergantung sepenuhnya kepada proses pereputan semuajadi, dan sebahagian yang lain menggunakan bantuan dari alatan mekanikal. Kompos dapat dibuat secepat dua hari dengan bantuan mesin, sehingga lapan bulan secara kaedah semulajadi. Setiap satu kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri, seperti faktor kos pembuatan, keberkesanan kaedah dan juga kandungan nutriennya. Teknologi pembuatan kompos telah berkembang dan sebahagiannya telah bersifat komersial. 

Di Jabatan Senibina Landskap, pelajar didedahkan dengan kaedah pembuatan kompos sisa hijau secara praktikal didalam kursus LAN3302 Operasi Dan Implimentasi Landskap. Kaedah yang digunakan telah dikenalpasti mampu untuk menghasilkan kompos dengan jangka masa yang agak cepat iaitu seawal 18 hari, dan menghasilkan kompos yang agak bersesuaian dan murah untuk diguna secara terus kepada tanaman landskap. Melalui amali seperti ini, pelajar dapat memahami kaedah alternatif bagi merawat ‘tanah terganggu’ seperti di kawasan bandar. Dengan pendedahan seperti ini diharapkan pelajar akan lebih menyedari, dalam keadaan kita mengejar arus kemodenan, betapa pentingnya untuk kita memahami alam sekitar yang berfungsi mengikut aturannya yang tersendiri. Dan bagi setiap kerosakan yang berlaku, kita perlu berusaha untuk menyelesaikan masalah ini menggunakan penyelesaian yang sejajar dengan hukum semulajadi. Dan segalanya akan selesai secara harmoni dan baik-baik sahaja.   

 

 

Ts. Emran @ Zahrin Mohamad Taram

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Univerisit Putra Malaysia.

Tarikh Input: 04/11/2022 | Kemaskini: 04/11/2022 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0397694090
0389480017
BVMCDA:03:03