HAK KEADILAN GELANDANGAN DAN PERANAN PEREKA BANDAR DALAM KONSEP MASYARAKAT MADANI | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » HAK KEADILAN GELANDANGAN DAN PERANAN PEREKA BANDAR DALAM KONSEP MASYARAKAT MADANI

HAK KEADILAN GELANDANGAN DAN PERANAN PEREKA BANDAR DALAM KONSEP MASYARAKAT MADANI

Buku ‘Membangun Negara MADANI- Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’ setebal 217 muka surat oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengariskan kerangka dasar yang bertunjangkan kesiapsiagaan terhadap zaman pasca normal. Kandungan buku ini memberi kesedaran bahawa kebanyakan masalah adalah saling berkait dan menuntut langkah yang serentak di pelbagai bidang dan sektor.

Enam rukun utama MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan telah menekankan tidak ada seorang pun yang akan ketinggalan atau dilupakan.

Tonggak yang ke-6 iaitu IHSAN dilihat amat penting di mana Ihsan atau rahmah yang ditakrifkan di dalam buku oleh Perdana Menteri ini adalah sebagai ‘memelihara dan menyediakan keperluan asas yang diperlukan demi kesejahteraan semua pihak’.

Selain dari kemudahan akses dan keperluan mereka yang berkeperluan khas yang yang perlu ditambah baik, salah satu golongan di negara ini yang amat memerlukan penerapan nilai Ihsan adalah golongan gelandangan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula pada tahun 2009 terdapat seramai 1,934 gelandangan dan sehingga 2017 jumlah ini semakin meningkat seramai 4,365 orang.

Pada tahun 2018, jumlah gelandangan mengalami sedikit penurunan seramai 3,472 orang dan mula menunjukkan pola penurunan kepada 3,221 orang pada tahun 2019. Bilangan gelandangan yang dikenalpasti semasa berlakunya wabak COVID-19 pada tahun 2020 menurun dua kali ganda iaitu seramai 2,108 orang. Setakat 2021, Kuala Lumpur dilaporkan mencatatkan jumlah tertinggi gelandangan dengan peratusan sebanyak 50% daripada kira-kira 2,000 gelandangan.

Pelaksanaan akta atau polisi untuk golongan gelandangan diperlukan sebagai salah satu solusi kekal hasil daripada usaha sama pihak berkenaan seperti pihak kementerian, Majlis Bandaraya atau Majlis Perancangan Bandar, badan bukan berkanun serta industri swasta yang terlibat dalam pembentukan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals-SDG).

Di bawah misi SDG 11, setiap rakyat Malaysia berhak untuk menerima penempatan yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Objektif utama dasar perumahan negara juga seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia adalah untuk menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi, berkualiti, mampu milik untuk semua golongan berpendapatan dan lengkap dengan kemudahan asas yang lengkap.

Malangnya, banyak kekangan dan kelemahan yang menghalang dan sering mengganggu pencapaian sasaran penempatan mampu milik terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah maka wujudnya pertambahan golongan gelandangan dari semasa ke semasa. Salah satu isu perumahan utama yang selalu diketengahkan ialah perumahan untuk golongan rentan.

Selain usaha daripada pihak NGO menyediakan tempat perlindungan sementara untuk membantu gelandangan, usaha daripada jabatan perancang dengan kerjasama golongan profesional seperti arkitek atau pereka bentuk boleh membantu gelandangan dari segi tempat perlindungan yang fleksibel dan mudah alih bagi merapatkan jurang masalah yang sering wujud di antara gelandangan dan bantuan perumahan.

Seni bina adalah satu cara untuk menyelesaikan masalah sosial untuk membantu masyarakat melalui seni bina alam sekitar. Walaupun adalah mustahil untuk isu gelandangan dapat "diselesaikan" dengan seni bina sahaja, keengganan untuk terlibat dalam mereka bentuk untuk mencegah isu ini akan mewakili kegagalan untuk terlibat dalam isu perancangan bandar dan masyarakat setempat.

Oleh itu, selain daripada usaha dalam memperkenalkan tempat perlindungan yang fleksibel, golongan profesional ini boleh menerapkan usaha ini dalam pembentukan akta atau polisi untuk gelandangan.

Contohnya, tempat menunggu bas sering digunakan sebagai tempat para gelandangan untuk berehat atau tidur. Malangnya, ada kejadian di mana unjuran dari ini telah dan mengganggu keamanan dan keselamatan orang awam.

Perkara ini boleh diselesaikan dengan memperkenalkan usaha untuk penggunaan fasiliti secara bergilir atau menempatkan gelandangan di kawasan fasiliti awam hanya untuk mereka. Penggunaan fasiliti secara bergilir bermaksud sesetengah kawasan hanyalah digunakan oleh orang awam mengikut pada waktu bekerja iaitu dari pukul 8.00 pagi sehingga 10.00 malam. Oleh itu, gelandangan boleh berada di kawasan ini dari pukul 11.00 malam sehingga pukul 7.00 pagi dengan satu jam masa peralihan.

Usaha ini telah banyak diperkenalkan di luar Malaysia seperti di Singapura, Amerika Syarikat dan Kanada. Usaha ini boleh di pelbagaikan di kawasan ‘hot-spot’ di mana pihak berwajib atau berkanun boleh menyediakan satu tempat lapang dan memberikan khemah bencana untuk gelandangan atau mengubah bangunan terbengkalai sebagai tempat perlindungan gelandangan.

Contohnya, kawasan lapang seperti dataran atau padang dibenarkan untuk digunakan oleh gelandangan dengan mewajibkan mereka menggunakan khemah bencana secara berkala. Tempat perlindungan secara poket atau mudah alih juga boleh diperkenalkan di kawasan bandar.

Bantuan dan nasihat daripada pihak profesional yang terlibat dalam seni bina, reka bentuk, landskap atau perancangan bandar amat diperlukan kepada pihak berkanun atau pihak majlis untuk mengeluarkan polisi atau akta di bawah reka bentuk atau landskap dan kemudahan awam untuk gelandangan.

Usaha baru yang boleh diperkenalkan di Malaysia untuk menangani masalah hak gelandangan dan pada yang masa membentuk bandar pintar serta mengekalkan hak sebagai orang awam perlu sejajar dengan visi MADANI untuk sebuah masyarakat Malaysia yang lebih adil.

 

 

Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Shukor

Profesor Madya
Jabatan Senibina Landskap,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM

 

Tarikh Input: 01/08/2023 | Kemaskini: 01/08/2023 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEcBAI~