Murid Sekolah Rendah Masyarakat Orang Asli Sertai Pertandingan Melukis Poster | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » Murid sekolah rendah masyarakat Orang Asli sertai Pertandingan Melukis Poster

Murid sekolah rendah masyarakat Orang Asli sertai Pertandingan Melukis Poster

 

 Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Azman Mohd (FRSB)

 

SERDANG, 7 Sept – Seramai 180 murid sekolah rendah masyarakat Orang Asli menyertai Pertandingan Melukis Poster bagi Pelajar Masyarakat Orang Asli Malaysia, semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

 

Pertandingan yang bertemakan ‘Aku 10 Tahun Akan Datang’ itu dianjurkan Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM)) dengan kerjasama Radio AsyikFM, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Jerayawara, Jabatan Rekabentuk Perindustrian, FRSB, UPM, Ts. Dr. Velu Perumal berkata ia adalah sebagai usaha menyediakan ruang untuk pelajar Orang Asli berfikir mengenai pencapaian pendidikan dan hidup mereka yang cemerlang pada 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, pertandingan yang itu dikhaskan untuk murid sekolah rendah di kalangan masyarakat Orang Asli juga bertujuan mengisi masa lapang pelajar sewaktu PKPB.

Katanya, inspirasi untuk menganjurkan program itu tercetus daripada bengkel Pemikiran Kreatif dan Inovasi Rekabentuk di Sekolah Kebangsaan Pos Musoh LZ Tapah, Perak pada Ogos lalu, yang mendapati pelajar Orang Asli mempunyai kemahiran yang unik dalam ciptaan dan rekabentuk.

 

“Saya harap dengan pendedahan ini pelajar Orang Asli tertarik dengan jurusan seni lukis dan reka bentuk. Mungkin suatu hari nanti mereka akan melanjutkan pengajian di FRSB UPM serta membantu memperkasakan jurusan rekabentuk negara,” katanya.

Pengurus AsyikFM, Fazilatun Hazura Ya’amah berkata program itu mampu membina insan untuk menjayakan perkembangan sosio ekonomi masyarakat Orang Asli di masa hadapan.

 

Dekan FRSB UPM, Prof. Madya LAR. Dr. Suhardi Maulan pula berharap usaha seperti itu akan dapat membantu memasyarakatkan ilmu pengetahuan, pendidikan dan kemahiran yang diperlukan dalam menjamin keseragaman dan kelestarian pembangunan negara.

“Penganjuran program sebegini adalah bertepatan untuk mencungkil kemahiran dan minat pelajar Orang Asli dalam memupuk kepercayaan dalam kemampuan pemikiran kreatif mereka dan secara langsung memberikan inspirasi untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi,” katanya sambil berharap ia akan dijadikan aktiviti tahunan. – UPM

Tarikh Input: 24/09/2020 | Kemaskini: 24/09/2020 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDdTAk~