
Nursyida Mansor
SRI SERDANG, 29 November 2024 - Majlis Apresiasi Graduan Siswazah 2024 yang telah berlangsung pada 29 November 2024 di Dewan Reka Bentuk, FRSB merupakan acara tahunan yang dianjurkan sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-48. Ia bertujuan meraikan kejayaan 123 graduan siswazah, termasuk graduan dari Program Doktor Falsafah, Master Sains dan Master Secara Kerja Kursus yang telah menamatkan pengajian mereka.
Acara utama majlis ini ialah hooding ceremony, satu tradisi yang sangat bermakna dalam komuniti akademik. Dalam upacara ini, setiap graduan akan dipakaikan hood mereka oleh penyelia masing-masing. Proses ini melambangkan peralihan mereka dari pelajar kepada ahli akademik atau profesional yang bertauliah. Warna pada hood melambangkan bidang pengajian mereka, menonjolkan identiti akademik dan pencapaian mereka yang unik.
Tradisi ini bukan sahaja meraikan pencapaian individu tetapi juga mengiktiraf peranan mentor, penyelia, dan fakulti dalam membimbing pelajar mencapai tahap kecemerlangan akademik. Ia menjadi detik yang penuh emosi, di mana usaha keras, dedikasi, dan perjalanan akademik yang panjang diberi penghormatan.
Selain itu, majlis ini turut meraikan pelajar-pelajar terbaik siswazah bagi setiap program. Pengiktirafan ini bertujuan menghargai kecemerlangan akademik mereka sepanjang pengajian, serta memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan yang sama. Penyampaian anugerah ini menambah seri dan makna kepada majlis, mengukuhkan lagi budaya kecemerlangan di kalangan komuniti siswazah UPM.




Tarikh Input: 06/01/2025 | Kemaskini: 06/01/2025 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR