FRSB, UPM Terima Anugerah Sukarelawan Malaysia | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » FRSB, UPM terima Anugerah Sukarelawan Malaysia

FRSB, UPM terima Anugerah Sukarelawan Malaysia

 

 

PETALING JAYA, 9 Dis - Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai penerima Anugerah Sukarelawan Malaysia(Anugerah Perdana Menteri) bagi kategori Inisiatif Sukarelawan Terbaik – Dre1M 2016 pada majlis Anugerah Sukarelawan Malaysia.

Majlis anugerah yang julung kali dianjurkan oleh 1Malaysia For Youth (Im4u) itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang banyak memberi sumbangan dalam usaha menjalankan aktiviti kesukarelawan di Malaysia.

Turut hadir pada maljis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

FRSB menerima pengiktirafan itu berdasarkan inisiatifnya yang berjaya melaksanakan projek Teratak Semai Fasa 5.0 iaitu projek yang memfokuskan kepada usaha membina empat unit rumah kediaman suku kaum Semai di Tapah dan Sungai Kampar, Perak.

Pembinaan rumah itu menggunakan konsep rumah bina sendiri (self build housing) melibatkan 22 sukarelawan pelajar dan alumni, serta 10 staf FRSB yang diketuai Prof. Madya Ar. Meor Mohammad Fared Meor Razali.

Projek pembinaan rumah Orang Asli itu bermula Januari 2015 sehingga April 2016.

Prof. Madya Ar. Meor Mohammad Fared berserta penyelidik Dr. Wan Srihani Wan  Mohamed, Dr. Shafizal Maarof dan Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja’afar telah mereka  bentuk prototaip rumah mampu milik bina sendiri (self-build affordable house) menggunakan bahan simen, paip pvc, kayu, bumbung ‘metal deck’ dan dinding anyaman buluh atau daun bertam. 

Sukarelawan dalam kalangan staf, pelajar dan Alumni senibina UPM bekerjasama dan berganding bahu dengan komuniti Orang Asli dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membina rumah itu.

Prof. Madya Ar. Meor Mohammad Fared berkata projek berkenaan memfokuskan pembinaan rumah untuk komuniti Orang Asli di Tapah, Perak.

“Dalam Projek Teratak Semai Fasa 1.0 kita berjaya membina empat unit rumah di Kampung Bt. 16, Jalan Pahang, Tapah dan dalam Projek Teratak Semai Fasa 2.0 kita membina enam unit rumah di kampung yang sama.

“Sementara dalam Projek Teratak Semai Fasa 3.0 kita berjaya membina enam unit rumah di Kampung Bt. 5, Jalan Pahang, Tapah,” katanya.

Kategori lain anugerah pada majlis itu ialah Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Superelawan Tahunan, Anugerah Media Sosial Terbaik bagi Inisiatif  Sukarelawan, Anugerah Khas Juri dan Anugerah iM4U Lagu Kemanusiaan Terbaik.

 

 

Tarikh Input: | Kemaskini: 09/06/2020 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXERAAb~