Fahami Trend, Aplikasikan Teknologi Industri Perabot | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » Fahami trend, aplikasikan teknologi industri perabot

Fahami trend, aplikasikan teknologi industri perabot

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Azman Mohd

 

PUTRAJAYA, 3 April - Pihak industri perabot, pereka, penyelidik dan ahli akademik perlu lebih peka serta memahami dengan jelas trend semasa industri itu, terutamanya melalui pengaplikasian teknologi terkini terhadap industri reka bentuk dan inovasi ke arah melonjakkan lagi industri berkenaan.

Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya LAr. Dr. Osman Mohd Tahir berkata ketersediaan itu akan mampu membuka peluang pelaksanaan lebih banyak pengkomersilan dan meningkatkan nilai kualiti setiap inovasi atau produk.

Justeru katanya, penggunaan dan pengaplikasian inovasi dan teknologi perlu difahami dan di ketengahkan bagi memastikan mekanisme yang terbaik dapat diwujudkan untuk industri itu terus kekal relevan, dijadikan rujukan serta diterapkan oleh pihak industri, pereka, penyelidik dan akademik.

“Penekanan dalam aspek perubahan trend semasa industri rekabentuk dan inovasi adalah penting bagi  memastikan industri menjurus ke arah pembangunan teknologi 4.0 iaitu proses pembangunan produk, pembuatan dan kerjasama strategik industri,”  katanya ketika merasmikan Seminar Reka Bentuk dan Inovasi Perabot 2018, di sini.

Pelbagai rekabentuk perabot bercirikan tradisional dipamerkan pada seminar itu, yang dianjurkan bersama oleh FRSB, INSIDE Research Group, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

Prof. Madya LAr. Dr. Osman berkata, dalam industri perabot, rekabentuk dan inovasi memainkan peranan penting untuk menentukan sama ada sesuatu perabot diterima oleh pelanggan atau sebaliknya.

Reka bentuk yang dihasilkan seharusnya memenuhi keperluan pengguna daripada sudut ergonomik, keselamatan, kestabilan dan keselesaan pengguna, katanya, sambil menambah bahawa pengguna amat menitikberatkan aspek kualiti, ‘value for money’ dan produk hijau.

 

Sementara itu Ketua INSIDE Research Group, Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, FRSB, Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd. Rahman berkata industri perabot di Malaysia perlu mengetengahkan konsep ‘designomics’ (gabungan perkataan ‘design’ dan ‘economics’) iaitu memberi inspirasi kepada pereka menzahirkan idea yang berupaya memenuhi kehendak dan keperluan pengguna dalam menjalani kehidupan seharian. 

“Selaras untuk memenuhi permintaan pasaran dalam pembuatan perabot, konsep ‘designnomics’, dilihat sebagai pencetus nilai seni yang sesuai dengan kehendak citarasa pelanggan,” katanya. – UPM

Tarikh Input: 16/04/2018 | Kemaskini: 16/04/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDcTAp~