Reka Hias Kediaman Untuk Menyambut Hari Raya | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Reka Hias Kediaman untuk Menyambut Hari Raya

Reka Hias Kediaman untuk Menyambut Hari Raya

Projek Reka hias untuk hari raya merupakan satu kemestian bagi sesetengah orang yang suka kepada perubahan serta pembaharuan untuk ruang dalaman rumah. Reka hias dalaman ini berlaku secara tahunan. Untuk tujuan perkongsian kali ini, perbincangan secara santai tentang reka hias lebih bersesuaian daripada perbincangan secara teknikal atau terlalu ilmiah untuk rekabentuk dalaman.

Projek reka hias atau tatahias sempena hari raya merupakan sebuah projek berskala kecil, dengan tips mudah agar ia tidak membebankan para pembaca dari membuat hutang dan bergolok gadai hanya untuk sambutan hari raya, pendek kata perlu mengikut peribahasa melayu iaitu "ukur baju di badan sendiri".

Untuk perkongsian kali ini, saya mengariskan perbincangan dengan 4 kata kunci utama, iaitu Rancang, Pilih, Belanja Hemah dan Susun.

1. RANCANG

Sebuah perancangan yang baik perlu bagi mendapatkan hasil yang diimpikan untuk sesebuah ruang. Senaraikan perancangan awal, apa yang perlu ditukar atau dibaikpulih bagi melancarkan projek tatahias sambutan hari raya tahun ini. Jika komponen utama rumah seperti dinding, lantai, siling perlu diselenggarakan, maka perancangan awal perlu dimulakan bagi menggelakkan kesuntukan masa untuk menyiapsediakan rumah untuk menyambut tetamu di hari raya. Antara senarai rancangan terbaik untuk tata hias sambutan hari raya adalah perlu mengikut implikasi kewangan sendiri. Setelah kenal pasti peruntukan kewangan, senaraikan keperluan tata hias mengikut kepentingan contoh, kenal pasti keadaan dinding, perabot, kemasan tingkap serta assesori rumah. Impak terbesar yang boleh merubahkan suasana rumah adalah komponen terbesar seperti dinding tetapi memerlukan modal yang besar. Selepas dinding, elemen yang dapat memberi kesan kepada pandangan pertama adalah kemasan tingkap iaitu langsir. Seterusnya aksesori perabot serta elemen dekorasi bertemakan hari raya seperti bekas kuih, dulang, pinggan mangkuk serta hiasan pokok dan bunga-bungaan boleh ditambah sebagai senarai rancangan untuk hiasan hari raya.

 

2. PILIH

Setelah perancangan dibuat, tindakan seterusnya adalah memilih bahan, elemen dan tema untuk sesebuah ruang. Mulakan dengan membuat sedikit kajian tentang gaya terkini dalam rekabentuk dalaman. Dapatkan idea, cetakkan idea dan mulalah untuk membuat pemilihan yang terbaik. Antara gaya yang viral di malaysia kala ini adalah moden chic ataupun tropikal kontemporari  yang lebih dekat pada hati orang melayu.

Pemilihan warna alam dan lembut boleh membuat ruang bertambah besar dan tenang. Jenis-jenis perabot turut memainkan peranan penting bagi menghasilakan suasana baru di kediaman. Untuk gaya kontempori sebegini, pilihan perabot yang pelbagai tetapi harmoni boleh menaikkan seri ruang. Pemilihan gabungan bahan kayu dan fabrik akan membuat suasana ruang tampak segak dan bergaya di hari raya. Penambahan elemen dekorasi seperti bingkai gambar, pasu porselin, lampu meja serta pokok  hijau dapat menambahkan kesegaran ruang sekaligus memberi suasana baru di hari raya.

3. Belanja hemah

Setelah merancang dan memilih gaya yang sesuai untuk persiapan hari raya, pekara yang paling utama yang perlu dititik beratkan adalah perbelanjaan untuk tata hias hari raya. Belanjalah mengikut kewangan sendiri dengan memilih bahan atau elemen yang berpatutan harganya. Di dalam ilmu rekabentuk dalaman, sesuatu bahan atau elemen rekabentuk akan difomulasikan dalam 3 katagori kualiti iaitu premium quality (sangat mahal), moderate quality (harga mampu milik) dan low quality (murah dan tidak tahan lama). Untuk saranan projek hari raya sebegini, seeloknya kualiti moderate adalah yang terbaik, kerana ia menjimatkan dan mempunyai rupa seindah bahan premium. Untuk lebih berhemah, membeli perabot bukan sesuatu yang prioriti kerana dengan kreativiti kita mampu menukar suasana rumah dengan hanya mengalihkan beberapa perabot dan tukar fungsi kegunaannya. Cara ini lebih cepat dan tiada perbelanjaan diperlukan.

4. SUSUN

Tips yang terakhir adalah seni menyusun atur perabot dan perhiasan di dalam rumah. Aktiviti susunan perabot ini dapat memberi kelainan dalam sesuatu ruang. Seni susunan ini tidak terhad kepada perabot sahaja, hiasan dinding turut boleh diaplikasikan juga. Hampir semua peralatan di dalam ruang rumah berpotensi untuk diberi nafas baru dengan teknik susun semula ini. Cara ini paling mudah untuk mengubah suasana rumah yang sedia ada kepada suasana baru yang lebih ceria untuk sambutan hari raya. Antara susun atur mudah dan memberi nilai tambah di dalam ruang rumah adalah tata susun meja kopi yang boleh menaikkan tema hari raya. Alihkan hiasan sedia ada kepada menambahkan balang kuih raya dengan pelapik dulang yang jarang di gunakan di dapur untuk menampakkan kelainan pada ruang asal.

Di samping itu, bantal bantal kecil berwarna warni boleh di susun dan di tambahkan di ruang yang kurang ceria.

Bagi menampakkan kesegaran rumah, susunan lipatan langsir di tingkap turut dapat menyumbang keunikan sesuatu ruang. Untuk pencahayaan; cara susunan langsir amat memainkan peranan penting  

Susun semula kedudukan perabot   

Kesimpulan

Untuk mengubah sesuatu ruang dalam bagi menyesuaikan tema tertentu seperti sambutan hari raya, kita tidak perlukan modal yang besar, namun memerlukan pemikiran kreatif dengan hanya menggunakan 4 tips yang dikongsikan di atas, iaitu rancang, pilih, belanja hemah dan susun . Tips ringkas ini membolehkan ruang dalaman sesebuah rumah bertukar suasana dan menjadi lebih ceria.

 

Selamat Hari Raya!

 

Tarikh Input: 03/08/2023 | Kemaskini: 03/08/2023 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEbVAe~