PENGOLAHAN PENGUCAPAN TAMPAK PERIBAHASA MELAYU. | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » PENGOLAHAN PENGUCAPAN TAMPAK PERIBAHASA MELAYU.

PENGOLAHAN PENGUCAPAN TAMPAK PERIBAHASA MELAYU.

PENGOLAHAN PENGUCAPAN TAMPAK PERIBAHASA MELAYU.

Dr. Noor Azizi Mohd Ali

Peribahasa Melayu adalah satu ekspresi lisan yang terlahir dari pemerhatian dan pengamatan terhadap kehidupan dan persekitarannya. Bahasa yang disulami dengan lapisan-lapisan makna melahirkan susunkata yang indah dengan pelbagai penggayaan, iaitu secara abstrak dan mendalam, secara harfiah dan menyentuh, juga secara sindiran tapi mendidik. Analisa tampak adalah satu kaedah pemahaman tentang sebuah karya tampak dan maksudnya. Ini memberikan pemahaman tentang citra sebuah karya dan menyelongkar maksud yang mengiringinya. Kaedah kritikan seni Panofsky yang mengandungi 3 strata iaitu penjelasan pra-ikonografi yang memberi keterangan umum tentang sesebuah karya seni, analisa ikonografi yang melihat kepada motif dan pengolahan motif dan analisa ikonologi yang menyentuh tentang makna mendalam dan tersirat sesebuah hasil seni dalam konteks budaya, sejarah dan pemerhatian teknikal.

Seperti Durian Dengan Mentimun, Menggolek Rosak, Kena Golek Binasa.

       

Rajah 1: Seperti Durian Dengan Mentimun, Menggolek Rosak, Kena Golek Binasa

Noor Azizi Mohd Ali

Dakwat di atas kertas

50 x 50cm

2017

Durian, yang diangkat sebagai raja segala buah bagi masyarakat Melayu mempunyai watak yang kuat dan angkuh. Bukan saja dari segi baunya yang ‘harum’ tetapi juga dari segi bentuknya yang berduri memberikan nilai antagonis yang menyerlah. Timun pula sebaliknya, berperwatakan protagonis, lembut dan berhemah.  Dalam peribahasa ini, durian mewakili golongan penguasa atau pemimpin manakala timun pula mewakili golongan lemah atau khalayak jelata yang tidak punya apa-apa. Dalam pengolahan ini, durian memainkan watak utama dengan perletakan atau kedudukannya di bahagian tengah. Ianya dikelilingi oleh susunan timun yang diolah secara rawak dan dihiasi dengan bebungaan timun dan durian. Penyusunan secara rawak menekankan nilai dan watak organik subjek di dalam lukisan tersebut. Sulur bayung yang halus dan berlengkok melengkapkan keseluruhan pengolahan kepada satu komposisi yang santun dan indah.  Pengolahan ini dipengaruhi oleh gaya lukisan botanikal yang mengutamakan butiran dan perincian kepada anatomi buah, daun dan bunga.

 

Jadilah Resmi Padi Makin Berisi Makin Tunduk

 

   

 

Rajah 2: Jadilah Resmi Padi Makin Berisi Makin Tunduk

Noor Azizi Mohd. Ali

Dakwat di atas kertas

50 x 50cm

2017

Jadilah resmi padi, makin berisi makin tunduk’ adalah satu pengungkapan yang jelas dimana buah padi akan tunduk apabila bijirinnya itu telah matang. Lukisan ini menumpukan kepada padi yang telah matang sebagai subjek utama walaupun terdapat tikus padi dan 

petani di bahagian belakang lukisan. Tikus sebagai satu watak antagonis, di hasilkan bagi pengolahan yang lebih jujur, semulajadi dan organik. Ini dilengkapi pula oleh seorang petani di belakangnya. Tanpa tikus dan petani, pengolahan akan kelihatan agak kaku dan palsu kerana kedua-dua watak tikus dan petani mendokong citra alam semulajadi yang saling membantu dan bergantungan. Skala yang berbeza antara keduanya memberikan kedalaman dan perspektif yang unik serta dimensi yang menyerlah. Keseluruhan pengolahan dan susunan watak memperlihatkan suasana yang tenang, damai dan mengasyikkan. Sinergi yang berlaku antara padi, tikus dan petani membentuk kesatuan organik yang saling memerlukan kearah pengolahan yang sejahtera.

 

KESIMPULAN

 

Karya ini memberikan satu dimensi baru di dalam pemahaman tentang citra Melayu di dalam peribahasa dan pengolahannya dalam pengucapan tampak. Peribahasa berperanan membentuk nilai kejiwaan dan sikap kemanusiaan, sebagai satu terjemahan bicara akal dan budaya masyarakat, sebagai pencetus hubungan manusia dengan alam, sebagai pembentuk moral dan sebagai gambaran satu sistem sosialbudaya yang unik. Justeru, karya ini diharap akan dapat menyebarluaskan peribahasa Melayu dalam satu media alternatif (lukisan/lakaran) bagi memudahkan kefahaman dan penghargaan terhadap cabang khazanah budaya Melayu.

 

Tarikh Input: 13/08/2024 | Kemaskini: 13/08/2024 | marini

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
W, (10:58:27am-11:03:27am, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]