MEMBINA KOMUNITI DAN NEGARA YANG BERDAYA TAHAN PASCA COVID-19 | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » MEMBINA KOMUNITI DAN NEGARA YANG BERDAYA TAHAN PASCA COVID-19

MEMBINA KOMUNITI DAN NEGARA YANG BERDAYA TAHAN PASCA COVID-19

Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam merangka perancangan jangka panjang pasca 2020 sehingga 2040 dengan melancarkan Rancangan Fizikal Negara Ketiga yang bertemakan Ke Arah Pembentukan Negara Yang Berdaya Tahan dan Berdaya Huni pada tahun 2017. Namun yang demikian, pandemik Covid-19 adalah satu kejutan dalam konteks kerentanan komuniti dan memerlukan penelitian semula terhadap strategi perancangan dan pembangunan negara. 

Cabaran yang paling dirasai ialah ketika perintah kawalan pergerakan dikuat kuasakan di mana majoriti penduduk terutama di bandar besar diarahkan untuk kekal berada dirumah. Sekolah, universiti, tempat ibadah, kompleks sukan dan pelbagai tempat tumpuan awam ditutup bahana Covid-19. 

WHO menyarankan kaedah kuarantin, penjarakan sosial dan pengasingan diri sebagai strategi penting untuk mengurangkan penyebaran virus. Justeru norma baharu ini sedikit sebanyak telah mencetuskan konflik dalam reka bentuk bandar, taman awam, plaza, jalan, dan ruang awam sedia ada. 

Kesan yang paling ketara adalah di kawasan kejiranan kos rendah yang berkepadatan tinggi di mana saiz ruang rumah yang sangat kecil dan ketiadaan ruang awam untuk menjalankan aktiviti yang dibenarkan mengikut SOP. Banyak aspek perancangan fizikal mahupun sosial dalam reka bentuk bandar yang perlu dinilai semula dengan mengambilkira pandemik atau masalah kesihatan awam sebagai salah satu kriteria penting dalam menilai konteks kerentanan sesebuah komuniti ke arah mencapai matlamat negara yang berdaya tahan terhadap pelbagai situasi.

Bloomberg, sebuah syarikat gergasi berkaitan kewangan, perisian, data, dan media yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat telah menerbitkan Covid Resilience Ranking pada 24 November tahun lalu. Penilaian itu meletakkan Malaysia di tangga ke 29 daripada 53 buah negara yang dipilih berdasarkan jumlah kadar keluaran negara kasar (KDNK) yang melebihi dari 200 bilion setahun. 

Hasil daripada pencapaian ini adalah skor daya tahan (resilience) yang menunjukkan negara terbaik dalam menangani isu Covid-19. Apa yang mengejutkan adalah kedudukan Malaysia di tangga ke 29, berada di belakang negara serantau iaitu Vietnam (tangga ke 10), Singapura (tangga ke 11), Thailand (tangga ke 15), Indonesia (tangga ke 19), malahan Bangladesh juga berada di kedudukan lebih baik di tangga ke 24. 

Persoalannya, apakah benar Malaysia tidak menangani Covid-19 sebaik negara serantau? Berdasarkan penelitian yang dibuat ke atas kaedah yang digunakan oleh Bloomberg, mereka tidak menafikan mempunyai kekangan dan kekurangan data yang tepat dan menyatakan terdapat beberapa negara yang mengubah dan memanipulasi data mereka untuk menilai indikator seperti kadar kes positif atau kadar kematian yang dilaporkan. 

Sama ada kita ingin mengambil peduli atau tidak dengan penerbitan Bloomberg itu, terdapat beberapa perkara berkenaan Covid Resilience Ranking yang boleh dipelajari Malaysia untuk menambahbaik perancangan dan pembangunan negara ke arah masyarakat yang lebih berdaya tahan dan bukannya untuk ranking semata-mata. 

Sebagai contoh, Malaysia berada di kedudukan 3 negara ‘paling teruk’ dalam kategori indikator ‘Lockdown Severity’ dengan 80 skor, diikuti Ireland (81 skor), dan Chile (82 skor).  Indikator yang digunakan Bloomberg adalah berdasarkan indeks yang dihasilkan oleh University of Oxford di mana mereka menilai tahap ketegasan polisi kerajaan dalam menyekat pergerakan rakyat bagi mengawal penyebaran wabak dengan menterjemahkan kekangan pergerakan yang ketat sebagai petunjuk yang negatif dalam penilaian. 

Menurut justifikasi mereka, semakin ketat kawalan pergerakan, semakin huru-hara keadaan rakyat. Antara justifikasi yang diberikan adalah gelombang COVID-19 yang berulang-ulang dalam tempoh setahun menyebabkan kaedah kawalan pergerakan dianggap sebagai bukan pilihan utama. 

Selain itu kawalan pergerakan yang ketat turut memberi kesan negatif kepada masalah mental, sosial dan ekonomi rakyat seperti kadar bunuh diri yang lebih tinggi di beberapa negara, kebimbangan mengenai perkembangan anak akibat sekolah ditutup dan peningkatan kadar kelaparan dan berhenti sekolah dalam kalangan keluarga yang kurang bernasib baik. Berdasarkan penilaian ini, Malaysia perlu bertindak proaktif dalam memberikan persekitaran yang baik kepada segenap lapisan masyarakat untuk berhadapan dengan situasi seperti pandemik Covid-19 terutama apabila melibatkan sekatan pergerakan. 

Jika kawalan pergerakan rakyat adalah yang terbaik bagi Malaysia untuk menangani isu seperti pandemik Covid-19, justeru pihak kerajaan perlu memastikan isi rumah terutamanya komuniti miskin bandar seperti di kawasan perumahan kos rendah, mempunyai akses kepada lima aset asas untuk membina komuniti berdaya tahan di masa akan datang. Aset tersebut temasuk aset fizikal seperti rumah, bekalan air dan elektrik, internet, aset sosial seperti faedah daripada sosial aktiviti/interaksi yang melibatkan masyarakat, institusi, NGO, aset kewangan seperti gaji, bantuan kewangan, sumber pekerjaan untuk sara hidup, aset sumber manusia seperti ilmu pengetahuan, skil, kebolehan untuk bertahan, dan aset sumber alam semulajadi seperti pertanian bandar yang boleh dijadikan sumber pendapatan dan makanan, dalam memastikan keupayaan rakyat untuk menyesuaikan diri seterusnya pulih atau mungkin berubah kepada keadaan yang lebih baik apabila berhadapan dengan konteks kerentanan seperti pandemik ini.

 
Dr. Nor Azlina Abu Bakar

Jabatan Senibina,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, 
Universiti Putra Malaysia
 

Tarikh Input: 26/04/2021 | Kemaskini: 26/04/2021 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEaFAd~