Konsep Bandar Span Dalam Mengatasi Banjir Kilat Di Kuala Lumpur | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Konsep Bandar Span dalam Mengatasi Banjir Kilat Di Kuala Lumpur

Konsep Bandar Span dalam Mengatasi Banjir Kilat Di Kuala Lumpur

Baru-baru ini, Bandaraya Kuala Lumpur berhadapan dengan kejadian banjir kilat untuk ke sekian kalinya yang telah mengakibatkan ribuan penduduk tersekat di jalan raya utama dan juga ribuan kenderaan di sekitar ibu kota ini ditenggelami oleh air. Kejadian banjir kilat ini telah menyebabkan kerosakan harta benda yang menelan kos yang sangat tinggi kepada mereka yang terlibat serta pelbagai aktiviti harian warga kota tergendala. Kejadian banjir kilat yang berlaku terutamanya pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022 ini sahaja sebagai contoh, telah merekodkan nilai kerugian mencecah RM32.4 juta ke atas pelbagai jenis kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian.

Natijahnya, isu dan fenomena kejadian banjir kilat di Bandaraya Kuala Lumpur ini masih terus berlaku saban tahun walaupun pelbagai infrastruktur tebatan banjir telah dibina bertujuan untuk menangani masalah ini. Namun, dimanakah silapnya dan apakah kaedah seterusnya yang boleh difikirkan agar kejadian seumpama ini dapat diatasi pada masa akan datang bagi mengekang lebih banyak kerugian kepada warga kota. Adakah dengan segala kaedah sedia ada masih belum cukup lestari dalam mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur yang saban tahun membelenggu warganya?

Infrastruktur hijau merupakan konsep yang telah lama diguna pakai di negara-negara lain sebagai satu kaedah untuk mengatasi masalah banjir kilat. Kaedah infrastruktur hijau ini merujuk kepada rangkaian kawasan semula jadi atau kawasan hijau yang dihubungkan dengan jalan, laluan air dan saliran di dalam kawasan sesebuah bandar mampu menjadi agen dalam mengatasi masalah banjir kilat ini.

Rangkaian infrastruktur hijau sesebuah bandar akan membentuk suatu konsep bandaran yang dipanggil sebagai “Bandar Span” (atau terma Bahasa Inggerisnya ialah ‘sponge city’) sering diguna pakai untuk mengatasi masalah banjir kilat dan telah dibuktikan kejayaannya di beberapa negara lain. Konsep bandar span ini membolehkan sesebuah bandar untuk mempunyai kapasiti bagi mengarusperdanakan pengurusan air bandar yang bertujuan mengumpul, menyimpan dan merawat lebihan air hujan sekaligus meningkatkan keupayaan untuk penyusupan air secara semula jadi.

Negara China merupakan antara negara terawal di dunia yang menggunapakai konsep bandar span ini bermula pada tahun 2014 untuk mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar-bandar utama mereka. Dalam melaksanakan konsep Bandar Span ini, sesebuah bandar perlu mempunyai rangkaian kawasan semula jadi atau kawasan hijau yang mencukupi serta merentasi kawasan bandar bagi membolehkan air hujan meresap melaluinya disamping memupuk ekosistem bandar yang secara langsung akan meningkatkan kepelbagaian biodiversiti dan mewujudkan ruang dan peluang untuk warga kota berekreasi.

Jika dilihat, Bandaraya Kuala Lumpur kini terlalu pesat dibangunkan sehingga tidak mengendahkan konservasi kawasan semula jadi dan kawasan hijaunya yang secara tidak langsung menyumbang kepada kejadian banjir kilat. Bandaraya Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan hutan konkrit pencakar langit sudah tidak mampu lagi menampung taburan air hujan berlebihan sehingga menyebabkan banjir kilat di kebanyakan kawasan bandaraya ini. Kerakusan pembangunan telah mengakibatkan tiada lagi kawasan semulajadi atau kawasan hijau yang berperanan untuk meresap air hujan yang berlebihan ini sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku saban tahun di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur ini.

Selain daripada itu, sistem ramalan banjir kilat yang kondusif berdasarkan infrastruktur hijau perlu diwujudkan untuk mencari titik perkaitan yang membolehkan kita memahami dengan lebih mendalam dan terperinci kejadian banjir kilat di bandaraya Kuala Lumpur. Selaras dengan perkembangan sistem teknologi maklumat dan kecerdasan buatan sebenarnya mampu meningkatkan lagi keupayaan pihak berkuasa tempatan dalam membangunkan model sistem ramalan banjir kilat yang lebih efektif dan efisyen agar mampu meramal kawasan yang perlu dikekalkan dan dijadikan sebagai kawasan semulajadi atau kawasan hijau agar ianya tidak terdedah kepada banjir kilat di masa hadapan.

Konsep bandar span ini memerlukan suatu initiatif konservasi lestari ke atas infrastruktur hijau di bandaraya seperti Kuala Lumpur yang mampu membantu pihak berkuasa tempatan dalam menangani masalah banjir kilat secara lebih holistik dan berkesan. Tambahan pula, ianya dapat menjadikan Kuala Lumpur lebih daya tahan iklim serta membantu memulihkan ekosistem bandar, seterusnya meningkatkan kelestarian dan kesejahteraan penghuninya.



                                          Gambar 1 : Sumber Berita Harian online


Gambar 2: Sumber: http://www.thinkchina.sg/giant-buddha-and-sponge-cities-combating-floods-where-three-rivers-meet

 

 

Muhammad Shafiq Bin Zulkifli

Pensyarah Seni Bina Landskap,

Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat,

Universiti Sultan Azlan Shah.

 

Penulis merupakan pelajar PhD dibawah seliaan Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari bin Mohd Yusof.

Tarikh Input: 11/05/2022 | Kemaskini: 11/05/2022 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEYLAh~