Kelestarian Atasi Kemusnahan | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Kelestarian atasi kemusnahan

Kelestarian atasi kemusnahan

 BANJIR kilat melanda ibu negara bukan sesuatu yang asing. Ibaratnya, kejadian itu sudah boleh dijangka akan berlaku sekiranya hujan lebat melanda.

Padahal, 2020 sudah hampir ke penghujung dan jika difikir secara logik dengan teknologi semakin berkembang maju seharusnya masalah bencana alam hingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan membahayakan nyawa sudah dapat ditangani dan diselesaikan. Namun, pastinya wujud pertanyaan di mana silapnya?

Mengulas mengenai isu berkenaan, Dekan Fakulti Rekabnetuk dan Senibina UPM yang juga Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Assoc. Prof. LAr. Dr. Suhardi Maulan berkata, sebenarnya terdapat beberapa faktor berlakunya masalah kesan bencana alam di ibu negara atau bandar antaranya pengurangan kawasan hijau semula jadi, pembangunan tidak terkawal di kawasan lembangan banjir atau rendah dan pengurusan serta penyelenggaraan kawasan air larian yang lemah.

Tambahnya, menjadi trend masa kini menekankan mengenai konsep kelestarian di dalam pembangunan. Ini kerana di dalam kelestarian tidak menafikan kepentingan alam semula jadi selain sosial dan ekonomi.

 

"Namun, kita lihat kepentingan alam semula jadi itu hanya aspek kehijauan atau tempat beriadah sahaja.

"Walhal, kelestarian alam semula jadi itu amat membantu di dalam menangani kesan bencana alam sekiranya berlaku di dalam kawasan yang mempunyai populasi padat terutama di kawasan bandar," katanya.

Dr Suhardi berkata, disebabkan itu sudah tiba masanya untuk beralih kepada konsep pembangunan yang lestari menerusi peralihan daripada kaedah tradisional kejuruteraan yang menyediakan kemudahan infrastruktur termasuk untuk kawalan air larian, banjir dan kumbahan atau dikenali sebagai grey infrastructure kepada green infrastructure.

"Green infrastructure ialah sistem perancangan kawasan hijau atau semula jadi yang mampu memberikan perkhidmatan infrastruktur seperti kawalan air larian dan banjir selain memberikan perkhidmatan ekosistem kepada manusia, ekonomi dan alam sekitar.

 

ELEMEN hijau di dalam bangunan komersial boleh memberi kesan baik kepada persekitaran dalaman.
ELEMEN hijau di dalam bangunan komersial boleh memberi kesan baik kepada persekitaran dalaman.

 

"Mengenai grey infrastructure, saya tidak mahu mengatakan lapuk. Namun di sesetengah kawasan

green infrastructure adalah lebih baik bersandarkan keperluan untuk melihat sesuatu infrastruktur itu boleh memberi lebih banyak fungsi terutama di kawasan bandar yang bersifat terhad," katanya.

Dr Suhardi berkata, grey infrastructure meningkatkan kompetensi ruang kerana mempunyai fungsi tunggal. Selain itu, konsepnya berbeza iaitu membawa air ke kawasan lain secepat mungkin yang menyebabkan kawasan rendah terjejas.

"Bagi green infrastructure pula konsepnya adalah serapan di tapak yang boleh membantu mengurangkan berlakunya banjir kilat di kawasan bandar yang padat kerana air hujan akan terus diserap tanpa perlu melalui longkang konkrit.

"Perlu diingatkan bahawa penggunaan longkang konkrit ini juga boleh menyebabkan berlakunya masalah banjir kilat kerana kemampuannya untuk menampung kapasiti air hujan yang terhad berbanding serapan terus terutamanya di kawasan hilir" katanya.

Jelasnya, ketika ini bagi satu kawasan pembangunan disyaratkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus kawasan hijau sebenarnya lebih rasional untuk ditingkatkan peratusan itu terutama di kawasan bandar yang padat bagi membantu mengelakkan daripada berlakunya kesan bencana alam.

"Bencana alam ini sesuatu yang kita tidak boleh elakkan tetapi sebagai pemain industri yang membangunkan infrastuktur di sesuatu tempat, kita sudah boleh membangunkannya supaya lebih bersifat mampan bersandarkan kesan kejadian bencana alam sebelum ini.

 

LALUAN jalan raya yang banyak kawasan hijau memudahkan penyerapan air hujan.
LALUAN jalan raya yang banyak kawasan hijau memudahkan penyerapan air hujan.

 

"Jadi, di kawasan bandar yang padat, kita sudah boleh merancang untuk mewujudkan lebih banyak kawasan hijau di sesuatu kawasan pembangunan supaya ia lebih bersifat green infrastructure," katanya.

Jelasnya lagi, isu kepadatan kawasan bukan perkara utama menyebabkan berlakunya banjir kilat tetapi ia berkaitan dengan penyerapan air berlaku di kawasan hujan yang tinggi tanpa menjejaskan kawasan yang tidak berlaku hujan.

"Jika kita lihat kini kawasan rendah menerima limpahan air yang banyak kerana air dari kawasan tinggi masuk ke situ.

 

MENINGKATKAN kawasan hijau di kawasan bandar boleh membendung masalah banjir kilat.
MENINGKATKAN kawasan hijau di kawasan bandar boleh membendung masalah banjir kilat.

 

Green infrastructure mengurangkan risiko itu kerana air sudah diserap ke bumi lebih awal.

"Jadi, sebab itu kawasan hijau penting kerana ia adalah kawasan serapan air. Sekiranya longkang atau jalan lebih banyak dihijaukan kita dapat meningkatkan kadar serapan air," katanya.

Malah beliau mengakui betapa penting kawasan hijau dilihat sebagai satu infrastruktur bukan hanya sebagai kawasan lapang atau warna hijau semata-semata.

"Lebih baik lagi, jika terdapatnya tanaman yang bukan sahaja menjadi landskap tetapi ia juga berfungsi sebagai pemecah titisan hujan lebih kecil untuk diserap ke tanah dengan lebih baik," katanya.

 

 

Prof. Madya LAr. Dr. Suhardi Maulan

Dekan
Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 05/10/2020 | Kemaskini: 05/10/2020 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
B1606396221