Instia Palembanica@FRSB | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Instia palembanica@FRSB

Instia palembanica@FRSB

Ts. Dr. Sreetheran Maruthaveeran

Certified Arborist (MY-300A) (USA)

Jabatan Senibina Landskap

Pokok Merbau telah diisytiharkan sebagai Pokok Kebangsaan pada tanggal 23 Ogos 2019 oleh Perdana Menteri Malaysia yang Ke-7 YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena perasmian Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur.

Pokok Merbau telah diangkat sebagai pokok kebangsaan kerana ketahanan kayu pokok tersebut sebagai simbol keutuhan integriti hutan negara dari aspek pengurusan secara mampan dan dari usaha pemuliharaan biodiversiti negara serta kepentingan hutan dari aspek pembangunan ekonomi negara.

Sifat kayu pokok Merbau yang tahan lasak keras dan berkualiti tinggi mampu menangani kelembapan dan tidak lapuk sehingga boleh dijadikan sebagai perahu dan bahan asas kepada bangunan. Kayu Merbau dikelaskan dalam kumpulan kayu keras berat (Kelas B). Di samping itu, bintikbintik emas di sepanjang ira kayu Merbau kelihatan menarik dan sesuai dijadikan perabut.

Sempena pengisytiharan pokok Merbau sebagai pokok kebangsaan, saya bersama pelajar-pelajar dari kursus SLM5300 Arborikultur Tropika di bawah Program Master Pengurusan Landskap Lestari (MSLM) telah menanam pokok merbau di FRSB.

Di samping menambahkan bilangan spesies pokok yang sedia ada di FRSB adalah juga menjadi kebanggaan untuk melihat pokok kebangsaan ini dalam senarai pokok-pokok hutan spesies tempatan di FRSB. Oleh yang demikian, pada 7 Mac 2020 sempena sambutan Hari Landskap Negara 2020, sebanyak dua anak pokok Merbau telah ditanam di FRSB. Di samping pokok Merbau pelajar-pelajar kursus ini juga telah menanam sebanyak 16 spesies pokok tempatan yang lain seperti Damar Minyak, Merawan Siput Jantan, Pelong, Keladan, Kempas, Jelutong dan lain-lain. Diharap usaha penanaman pokok kebangsaan ini menjadi kebanggaan warga FRSB sejagat dan dapat diteruskan dengan penanaman spesies hutan hujan tropika yang lain di FRSB.

 
 
Ts. Dr. Sreetheran Maruthaveeran
Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 19/04/2021 | Kemaskini: 27/04/2021 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEYDAY~