Warisan Alam Kawasan Dilindungi : Isu Dan Kepentingan Kepada Manusia. | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Warisan Alam Kawasan dilindungi : Isu dan kepentingan kepada manusia.

Warisan Alam Kawasan dilindungi : Isu dan kepentingan kepada manusia.

World Wide Fund of Nature (WWF), Convention on Biological Diversity (CBD) dan International Union Conservation Nature (IUCN) merupakan antara institusi di peringkat global yang memainkan peranan aktif dalam menangani isu kepelbagaian biologi dan kepentingan sumber semulajadi terus dipelihara dan dilindungi. Organisasi ini menyedari wujudnya ancaman kemusnahan yang bukan sahaja akibat dari kerosakan secara semulajadi tetapi juga akibat perubahan keadaan sosial dan ekonomi manusia. Malah perubahan sosial dan ekonomi lebih signifikan mendatangkan kerosakan dan kemusnahan jika tidak diurus dengan saksama. Salah satu cara melindungi warisan alam semulajadi ialah mewujudkan kawasan perlindungan terancang supaya banyak pihak mendapat manfaat dari sudut nilai dan faedah. Menurut Dudley (2008) dianggarkan kira-kira 12% sahaja keluasan keseluruhan rangkaian kawasan perlindungan di dunia, yang memberi nilai dan faedah kepada manusia secara khususnya.

Inisiatif kerajaan Malaysia mewujudkan beberapa dasar seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Dasar Alam Sekitar, Dasar Perhutanan Negara dan Dasar Landskap Negara antara lain bertujuan untuk mengurus, merancang ekosistem dan biodiversiti dengan lebih baik, sistematik dan berkesan berdasarkan cabaran di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa. Impaknya dilihat dari segi pengiktirafan Malaysia antara 12 negara di dunia yang diiktiraf sebagai negara mega biodiversiti (Jabatan Perhilitan,2011). Pengwujudan kawasan perlindungan dilihat sebagai cara untuk memberi perlindungan konservasi yang berpanjangan kepada ekosistem alam semulajadi dan juga menjaga kepelbagaian nilai yang ada seperti nilai konservasi alam semulajadi, budaya, pengetahuan, nilai barangan dan sebagainya. Justeru, terdapat keperluan untuk merangka strategi agar kepentingan nilai dan faedah yang dipunyai oleh kawasan perlindungan diurus secara lestari khususnya apabila berhadapan dengan pelbagai ancaman pada masa kini.

Takrif kawasan perlindungan mengambil definisi daripada International Union for Conservation of Nature (IUCN) iaitu kedudukan kawasan geografi yang jelas ditanda atau dikawal dengan peraturan tertentu dan diuruskan bagi mencapai objektif khusus konservasi.

Kebelakangan ini banyak dapatan kajian dan laporan media menyatakan bahawa ancaman kepada kawasan alam semujadi semakin bertambah. Ancaman ini berupa ancaman semulajadi (contoh: banjir kilat, atau banjir akibat kepala air) dan hasil tindak tanduk manusia ke atas pembangunan yang tidak lestari (contoh: pembukaan tanah untuk pertanian dan pencerobohan hutan) ekoran keperluan memenuhi kehendak manusia. Tidak dinafikan juga bahawa kawasan semulajadi juga dihimpit dengan kesan di sekelilingnya, malah lebih buruk lagi adanya usaha secara perundangan bagi menukar status semasa kepada bentuk yang boleh dimajukan atas dasar kepentingan awam. Namun begitu, ada segelintir yang tidak kisah, tetapi bagi manusia yang terkesan (contoh orang miskin atau penduduk kampung tinggal berhampiran dengan kawasan alam semulajadi  dan bergantung harap kepada sumber kawasan ini). Bagi mereka, kehilangan dan kemorosotan ekosistem dan biodiversiti membuatkan mereka lebih miskin, bertambah susah dan wujud konflik sosial.

Di Semenanjung Malaysia sejarah permulaan perlindungan kawasan semulajadi adalah akibat eksploitasi yang hebat ke atas nilai sumber semulajadi bagi tujuan pembangunan ekonomi ketika pemerintahan kerajaan British di Malaya ketika itu (Allen dan Donnithorne, 1957; Chai Hon-Chan,1964). Ekoran daripada itu, inisiatif untuk melindungi dan menjalankan usaha-usaha konservasi dilakukan melalui tiga kaedah iaitu mengadakan undang-undang  yang melindungi spesis haiwan yang sering diekslpoitasi, menjalankan program pengrizaban hutan dan mewujudkan kawasan perlindungan (Aiken 1994). Kawasan perlindungan Chior (di Perak) adalah KP pertama di Semananjung Malaysia diwujudkan pada tahun 1903 dengan keluasan 4330 hektar.

Selama hampir sembilan dekad (1903 – 1992)  sebanyak 28 kawasan dilindungi sebagai kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia. Jumlah ini merangkumi keluasan 829,232 hektar tanah atau bersamaan 6.3% jumlah keluasan tanah di Semenanjung Malaysia (Aiken, 1994). Didapati saiz keluasan kawasan dan objektif adalah berbeza-beza, seperti Pulau Port Dickson di Negeri Sembilan diwujudkan pada tahun 1926 berkeluasan hanya 0.5 hektar untuk pemeliharaan santuari burung. Manakala, kawasan yang terbesar ialah Taman Negara Pahang berkeluasan 434,351 hektar diwujudkan pada 1938 (Aiken,1994).  Sebanyak 13 KP baru diwujudkan selepas tahun 1995 di Malaysia dengan tambahan keluasan berjumlah 456,000 hektar. Secara umumnya kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia boleh dikenali dengan nama rizab hidupan liar, santuari burung, tapak RAMSAR, santuari hidupan liar, taman negara, taman laut and taman negeri, rizab hutan kekal yang telah diwarta bagi tujuan konservasi ekosistem dan habitat.

Jika kesemua kawasan perlindungan ini dijumlahkan keluasannya, seolah menjadi kawasan “pelabuhan” kepada pelbagai spesis dan habitat dan pada masa yang sama ia juga penting kepada manusia dari segi nilai dan faedah untuk kesejahteraan hidup (Mansourian et al 2008).  Kini sesetengah kawasan perlindungan membuka ruang kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti seperti eko-pelancongan. Peranan dan kepentingan yang dimainkan oleh kawasan perlindungan alam sekitar sangat besar seperti kesejahteraan, keharmonian dan kelestarian pembangunan. Contoh sejak sekian lama manusia mendapat faedah dari alam semulajadi seperti sumber bekalan makanan, ubatan, sumber bekalan air, estetik malah melindungi manusia dari bencana alam semulajadi terutamanya mereka yang  tinggal di kawasan pendalaman serta bergantung harap kepada nilai sumber-sumber dari alam semulajadi demi kelangsungan hidup. Namun sejauh mana kawasan seperti ini mampu bertahan dari segi kemapanan, perlu dilihat dalam kontek yang lebih holistik untuk manfaat generasi pada masa hadapan.

 

Kosmo 25 Jun 2014 

 

Imej hutan yang perlu dipelihara dan dilindungi untuk manfaat masa hadapan.

 

Sumber : Berita Harian 22 Jun 2020

 

LAr. Mohd Nazri Saidon

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Univerisit Putra Malaysia.

 

Tarikh Input: 08/09/2022 | Kemaskini: 08/09/2022 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDdAAk~