KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PENYERTAAN REKA BENTUK BAGI MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN KELESTARIAN REKA BENTUK LANDSKAP BANDAR | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» ARTICLE » KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PENYERTAAN REKA BENTUK BAGI MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN KELESTARIAN REKA BENTUK LANDSKAP BANDAR

KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PENYERTAAN REKA BENTUK BAGI MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN KELESTARIAN REKA BENTUK LANDSKAP BANDAR

KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PENYERTAAN REKA BENTUK BAGI MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN KELESTARIAN REKA BENTUK LANDSKAP BANDAR

Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Yazid Mohd Yunos

 

 

  1. Isu reka bentuk ruang landskap di bandar tanpa penyertaan reka bentuk

 

Jika kita lihat realiti semasa, banyak projek landskap bandar masih dirancang secara ‘top-down’. Profesional menyediakan pelan berdasarkan garis panduan teknikal, keperluan pihak berkuasa dan kekangan bajet. Komuniti atau penguna di bandar biasanya dirujuk pada peringkat akhir, selepas keputusan penting telah dibuat. Secara prosedur memang ada penyertaan, tetapi dari sudut reka bentuk sebenar, ruang untuk ‘co-design’ masih terhad kerana atas faktor komunikasi satu hala.

Akibatnya, ruang awam seperti taman, dataran dan laluan hijau mungkin lengkap dari sudut teknikal, tetapi tidak sepenuhnya mencerminkan corak penggunaan sebenar atau keutamaan sosial komuniti. Ada ruang yang cantik tetapi kurang digunakan. Ada taman yang luas tetapi panas dan tidak selesa. Dari sudut kelestarian pula, keputusan tentang pemilihan spesis tanaman dan tumbuhan hijau, bahan permukaan atau sistem saliran sering dibuat tanpa analisis menyeluruh tentang tingkah laku penguins dan mikro iklim setempat. Ini bertentangan dengan semangat perancangan kolaboratif yang menekankan perkongsian pengetahuan antara profesional dan komuniti (Healey, 1997).

 

  1. Isu-isu yang berlaku sekarang

 

Beberapa pola masalah boleh diperhatikan secara konsisten. Pertama, kadar penggunaan ruang awam yang rendah selepas projek siap. Ini menandakan jurang antara reka bentuk dan keperluan sebenar pengguna. Kedua, wujud konflik atau rasa tidak puas hati kerana komuniti merasakan pandangan mereka tidak diterjemahkan dalam reka bentuk akhir. Ketiga, isu kelestarian seperti pulau haba bandar dan banjir kilat terus berulang kerana keputusan reka bentuk ruang atau ‘spatial’ tidak disokong oleh analisis data yang dinamik dan berterusan.

Dari sudut proses penyertaan reka bentuk atau penyertaan awam pula, bengkel atau FGD dan borang maklum balas menghasilkan data yang banyak tetapi sukar dianalisis secara menyeluruh. Komen awam dalam bentuk teks, cadangan terbuka dan perbincangan kumpulan selalunya tidak disintesis secara sistematik. Dalam kajian perancangan bandar, penggunaan Natural Language Processing (NLP) yang menjadi cabang Kecerdasan Buatan (AI) telah dikenal pasti sebagai pendekatan yang berpotensi untuk menganalisis data tidak berstruktur secara lebih efisien dan objektif. Namun dalam konteks perancangan dan reka bentuk landskap di Malaysia, aplikasi ini masih belum menjadi amalan biasa.

 

  1. Cadangan potensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam penyertaan reka bentuk

 

Integrasi AI dalam penyertaan reka bentuk boleh membantu menjadikan proses lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan kelestarian bandar.

Pertama, AI boleh digunakan untuk menganalisis maklum balas komuniti secara sistematik. Melalui teknik ini, ribuan komen daripada sesi libat urus, aplikasi digital atau media sosial boleh dikelompokkan kepada tema utama seperti keselamatan, keselesaan terma, aksesibiliti atau aktiviti sosial. Ini membantu arkitek landskap mengenal pasti pola sebenar tanpa bergantung kepada tafsiran manual semata-mata. Pendekatan ini telah dibincangkan dalam literatur sebagai kaedah yang berpotensi menyokong pembuatan keputusan bandar secara lebih berasaskan data lebih efisien.

Kedua, Kecerdasan Buatan (AI) boleh digabungkan dengan simulasi visual persekitaran untuk menyokong kelestarian. Sebagai contoh, model ramalan boleh digunakan untuk menganggarkan perubahan suhu mikro iklim apabila litupan dan silara pokok ditambah atau dikurangkan. Dalam kes pengurusan air larian, sistem boleh mensimulasikan kesan perubahan bahan permukaan terhadap risiko banjir kilat. Konsep digital twin bandar, seperti yang dihuraikan oleh Batty (2018), menunjukkan bagaimana model bandar maya boleh digunakan untuk menguji senario guna ruang sebelum intervensi fizikal dilaksanakan. Jika pendekatan ini disepadukan dalam sesi penyertaan reka bentuk (participatory design), komuniti bukan sahaja memberi cadangan, tetapi turut melihat implikasi pilihan mereka.

Ketiga, AI generatif boleh membantu dalam fasa awal eksplorasi reka bentuk. Berdasarkan parameter yang dipersetujui Bersama, contohnya sasaran pengurangan suhu, peratus minimum ruang hijau, atau akses dalam jarak berjalan kaki, sistem boleh menjana beberapa alternatif susun atur awal untuk dibincangkan. Alternatif ini bukan menggantikan peranan arkitek landskap, tetapi menjadi alat untuk mempercepat dialog dan memperluas kemungkinan reka bentuk.

Keempat, AI boleh digunakan sebagai sistem sokongan keputusan yang menyepadukan pelbagai idea pemegang taruh. Apabila cadangan daripada komuniti, NGO, jurutera dan pihak berkuasa dikumpulkan, sistem boleh membantu mengenal pasti titik persamaan dan konflik. Ini menjadikan proses penyertaan lebih tersusun dan mengurangkan risiko keputusan dibuat secara ad hoc.

Secara keseluruhan, Kecerdasan Buatan (AI) tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti profesional dalam reka bentuk landskap. Sebaliknya, ia boleh berfungsi sebagai alat sokongan yang memperkaya proses kolaboratif, mempercepat analisis maklum balas, dan membantu menghubungkan aspirasi komuniti dengan indikator kelestarian yang boleh diukur. Jika digabungkan dengan tadbir urus data yang jelas dan pendekatan yang inklusif, integrasi AI berpotensi menjadikan penyertaan reka bentuk dalam landskap bandar lebih bermakna dan lebih berkesan.

 

 

 

 

Date of Input: 30/03/2026 | Updated: 30/03/2026 | marini

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
W, (06:04:34am-06:09:34am, 06 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]