LANDSKAP DAN TAMAN | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» ARTICLE » LANDSKAP DAN TAMAN

LANDSKAP DAN TAMAN

Landskap boleh dikatakan sinonim dengan taman. Apabila disebut landskap, maka terbayanglah kita ‘taman’. Taman dari segi maksud asalnya adalah kawasan perlindungan yang indah, selamat dan menyeronokkan. Dengan sebab itu, taman dikaitkan dengan tempat-tempat yang menarik, selesa dan mengamankan. Landskap secara amnya bermaksud persekitaran daratan di atas permukaan bumi meliputi aspek-aspek fizikal yang boleh dilihat dan dialami (dirasai) di dalamnya. Landskap menggabungkan unsur-unsur semulajadi dan buatan manusia. Ia terbentuk melalui proses semulajadi iaitu kejadian-kejadian alam serta aktiviti-aktiviti manusia dalam membangunkan kawasan untuk kehidupan.

Revolusi Taman

Tidak dinafikan, perkembangan seni bina landskap bermula daripada seni bina taman. Pembangunan taman-taman awal mula dikesan sejak sebelum masihi walaupun tanpa rekod yang sahih. Taman-taman ini berbentuk geometri mudah, dipisahkan oleh sistem air (pengairan) yang membentuk blok-blok penanaman khususnya spesis buah-buahan, sayuran dan ubatan. The Hanging Garden of Babylon adalah satu contoh taman awal yang telah dikesan.

Semasa era kegemilangan Islam, taman juga berkembang bersama bidang ilmu yang lain. Karakter taman Parsi yang lebih tertutup dengan tembok dan tanaman pengadang telah menjadi imej kepada Taman Islam. The Generalife dan Alhambra di Granada adalah contoh taman Islam yang nyata.

Kemuncak kegemilangan seni bina taman berlaku di Eropah pada kurun ke-16. Taman Formal Renaissance di Itali dan Perancis telah menonjolkan seni dan seni bina taman seperti pembentukan tumbuhan topiary, parterre, hedges, espalier dan sebagainya. The Versailles, contoh taman formal Perancis dibina oleh Le Notre semasa pemerintahan Raja Louis XIV, masih dipelihara hingga kini walaupun telah mengalami perubahan zaman.

 

Topiari dan parterre adalah elemen seni yang penting dalam taman formal

Pada kurun ke-18, satu revolusi reka bentuk taman tidak formal (semulajadi) telah berlaku di England. Revolusi ini telah mengubah taman-taman formal di England kepada taman-taman lebih semulajadi yang digelar the Romatic English Garden. William Kent, ‘Capability’ Brown, Humprey Repton adalah antara personaliti yang mula mencetus revolusi ini. Taman-taman romantik ini lebih bebas, terbuka dan bersifat semulajadi tanpa tembok dan barisan tumbuhan pagaran yang nyata mahupun tanaman yang dibentuk khusus (topiari). Walaubagaimanapun, semua taman-taman yang dibina pada masa ini dan sebelumnya adalah khusus di kawasan-kawasan istana dan vila-vila pembesar negara.

 

Taman romantik Inggeris menjadi ikutan dan inspirasi kepada reka bentuk taman moden sehingga hari ini. Penerimaan ini juga dipengaruhi oleh reka bentuk taman-taman nusantara yang lebih bersifat semulajadi serta taman-taman oriental dari timur i.e., China dan Jepun yang mana lebih simbolik dengan falsafah dan penekanan terhadap nilai seninya.

 

Pada kurun ke-19 semasa revolusi perindustrian, taman sebagai tempat yang eksklusif telah dikembangkan untuk kemudahan awam dan mengawal pembangunan fizikal. Garden City Concept mula diperkenalkan oleh Ebenezer Howard untuk pembangunan satu bandar baru di England. Taman telah dilihat dengan lebih menyeluruh, iaitu integrasi pembangunan kawasan hijau (kawasan hijau bandar dan kawasan pertanian) serta pembangunan fizikal (kawasan perumahan, industri dan infrastruktur). Pada kurun yang sama, imej taman bandar telah diperkenalkan dengan pembangunan New York Central Park oleh Frederick Law Olmsted.  Beliau mula memperkenalkan bidang seni bina landskap kerana pembangunan taman bandar yang lebih kompleks dan menyeluruh.

 

Kini, di abad ke-21, lebih ramai penduduk dunia tinggal di alam bina atau di bandar. Oleh itu, peranan dan kepentingan taman bandar dan kawasan hijau bandar telah berkembang kepada keperluan kehidupan sejahtera dan lestari. Ia bukan sahaja diwujudkan sebagai satu-satu ruang hijau, tetapi rangkaian dan integrasi kawasan-kawasan hijau bandar dalam membentuk insfrastruktur hijau di alam bina yang dapat memberi manfaat kepada perkhidmatan ekosistem bandar.

 

Pembangunan Landskap

Berdasarkan definisi di atas, landskap bukan sahaja dilihat sebagai sumber visual persekitaran, malah ia telah menjadi aset penting dalam sesuatu pembangunan untuk menghasilkan habitat dan kehidupan manusia yang lebih sejahtera menurut hukum alam. Landskap umumnya meliputi kawasan-kawasan alam semulajadi, alam bina, perkampungan, infrastruktur, badan air dan sebagainya.

Landskap semulajadi merupakan kawasan-kawasan terpelihara yang belum dimusnahkan oleh pembangunan atau dilakukan pembangunan secara minimum tanpa mengubah nilai dan ciri-ciri semulajadinya. Kawasan-kawasan hutan semulajadi, padang pasir, padang rumput (savanna), pergunungan dan sebagainya merupakan landskap semulajadi. Sebahagian landskap semulajadi yang mempunyai sumber dan nilai luar biasa diwartakan sebagai Taman Negara.  

Landskap hasil aktiviti manusia merupakan kawasan-kawasan pembangunan untuk tujuan kehidupan. Landskap desa merupakan kawasan-kawasan perkampungan yang dikelilingi oleh tanah-tanah pertanian untuk aktiviti ekonomi setempat. Ia membentuk landskap budaya yang unik berdasarkan aktiviti kehidupan masyarakat setempat yang masih boleh dilihat di utara dan timur semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak. Tanaman edibel umumnya mendominasi landskap budaya sebagai sumber ekonomi, makanan dan ramuan dalam masakan.


Landskap desa terhasil berdasarkan budaya dan aktiviti kehidupan masyarakat setempat

Landskap bandar adalah kawasan pembangunan yang telah hilang dan kurangnya nilai-nilai semulajadi dan menghasilkan kualiti landskap yang pelbagai. Kawasan-kawasan komersial, perumahan, industri, infrastruktur, rekreasi seperti taman, padang golf dan sebagainya merupakan landskap buatan manusia. Taman bandar adalah nilai dan sumber semulajadi yang penting dalam landskap bandar dengan kepelbagaian spesis tanaman landskap, hiasan dan eksotik.

Sebagai kesimpulan, hubungkait landskap dan taman dalam perancangan dan pembangunan landskap secara menyeluruh ditunjukkan di dalam Rajah 1.

 

Rajah 1: Model Perancangan dan Pembangunan Landskap Menyeluruh

 

LAr. Ts. Abd Aziz Othman

Pensyarah Kanan
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia

 

Date of Input: 30/08/2023 | Updated: 30/08/2023 | uswahhasanah

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
BWJeBAV:01:59