LAMAN HUNIAN SEBAGAI NADI DAN DENYUT SEBUAH KEDIAMAN | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » LAMAN HUNIAN SEBAGAI NADI DAN DENYUT SEBUAH KEDIAMAN

LAMAN HUNIAN SEBAGAI NADI DAN DENYUT SEBUAH KEDIAMAN

Alam dan persekitaran adalah satu elemen penting di dalam kehidupan manusia. Alam bukan sahaja menjadi satu entiti ruang dan waktu pada kehidupan tetapi lebih dari itu ia menawarkan kepelbagaian warna, tekstur dan bentuk sebagai satu pengalaman estetik yang mengasyikkan. Alam juga mengajar kita tentang nilai manusiawi yang menjadi asas nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia. Bagi sebuah kediaman, alam semulajadi bukan saja bertindak sebagai elemen hiasan tetapi juga menjadi elemen terapi yang mengesankan.

Lamansari dan Lamantera adalah dua laman kecil yang terletak di dalam hunian Cahaya di Taman Desa Sentosa. Ruang kecil yang dipenuhi dengan elemen hijau diolah sebagai satu ruang yang penuh mengasyikkan. Lamansari yang terletak bersebelahan ruang khutubkhanaah menjadi ruang ekspresi yang dipenuhi dengan kepelbagaian bentuk, warna dan tekstur. Pohon Kemboja menjadi tunjang utama di dalam pengolahan laman ini. Batang-batangnya terlihat indah dengan lentuk dan ira yang teralun dengan penuh santun. Dasar taman pula dihiasi dengan pepohonan rendah seperti bromeliad, keladi juga lengkuas hitam. Kesemuanya terolah dalam satu kesatuan dan keharmonian.

Penggayaan neo-nusantara juga jelas terserlah pada lamantera di mana empat pohon kemboja saling berdialog dan menyediakan teduhan kepada penghuni. Wataknya juga jelas terpancar dengan latarnya yang dihiasi dengan pepohonan orkid liar dan juga ketup-ketup (Bauhinia kockiana) yang berbunga jingga yang kerap dilawati sang rama-rama.

Dialog antara ruang dan rama-rama yang berterbangan, antara binaan dan pepohonan, antara hijau dan jingga antara bunga dan dedaunan, antara tempayan dan jalanan, semuanya melahirkan candaan cinta yang begitu mengasyikkan.

Semoga catatan kecil ini mencetuskan kesedaran tentang tingginya nilai kehijauan dalam kehidupan manusia. Bukan kerana indahnya semata, bukan kerana fungsinya juga, tetapi kerana ia adalah satu ekosistem yang menyeluruh yang menjamin kelestarian kehidupan di bumi nyata. Amanah ini memerlukan satu pendekatan yang luhur di dalam menghadapi masalah alam yang bermula dari cetusan tangan-tangan manusia yang penuh noda dan dosa.

 

 

Dr. Noor Azizi Mohd Ali

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Univerisit Putra Malaysia.

Tarikh Input: 28/10/2022 | Kemaskini: 28/10/2022 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDdGAH~