Diari ARTScienceâ„¢ Prize 2020 | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» ARTICLE » Diari ARTScienceâ„¢ Prize 2020

Diari ARTScienceâ„¢ Prize 2020

  

Poster untuk Fractal Lights

 

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar kepada hampir seluruh masyarakat dunia, termasuklah  dunia akademia disebabkan oleh kesan pandemik Covid-19. Namun, terdapat aktiviti yang masih diadakan seperti pertandingan ARTScience™ Prize 2020 yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia. Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menubuhkan inisiatif ArtScience™ yang bertindak sebagai pengiktirafan kepada ciptaan yang mempunyai gabungan unsur seni dan sains dalam memperkuatkan lagi usaha penyelidikan di antara dua bidang ini. 

 

Pengumuman mengenai pertandingan yang pertama kali diadakan ini telah diwara-warakan kepada ahli fakulti pada 2 Januari 2020. Pemohon perlu menyatakan latar belakang projek dan menghuraikan secara terperinci konsep kesinambungan antara elemen artistik dan saintifik projek. Lakaran, gambar atau video mengenai artifak tersebut perlu disertakan sekali. Salah satu syarat juga menyarankan hasil kerja yang dipamerkan sebolehnya telah mempunyai Intelectual Property (IP). Saya telah mencuba nasib sebagai ketua projek untuk Fractal Light yang telah memperolehi IP pada 2018 melalui pameran Nature’s Yield and Wonder of Art (NYAWA) di Galeri Serdang. Ahli lain yang terlibat adalah Dr. Norhuzailin Hussein, En. Nasir Baharudin dan pelajar Master Sains, Iskandar Al-Khalifah. Saya juga terlibat sebagai ahli untuk Tropical Digital Waves, sebuah projek transdisplinary yang diketuai oleh penyelidik dari UKM, Dr. Hanif Baharin.

 

Disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan, pemberitahuan mengenai permohonan yang berjaya hanya berlaku pada bulan Julai 2020. Dengan SOP yang ketat, setiap peserta diminta untuk membuat persediaan pameran artifak masing-masing di Menara MATRADE pada 26-28 September 2020. Setiap peserta diberikan hanya 30 minit untuk penyediaan pameran. Dapat dirasakan satu ‘camaraderie’ serta persamaan dengan pameran Nature’s Yields and Wonder of Art (NYAWA) yang diadakan setiap tahun di Galeri Serdang, FRSB apabila berjumpa dengan penyelidik lain yang turut sama bersemangat. Proses pengadilan secara tertutup telah dilakukan oleh mereka yang pakar di dalam bidang sains dan seni seperti para saintis, penyelidik, artis dan arkitek. 

 

Daripada 54 jumlah penyertaan, sebanyak 13 artifak telah disenarai pendek. Mungkin satu kebetulan kerana kedua-dua penyertaan yang melibatkan saya iaitu Fractal Lights dan Tropical Digital Waves merupakan penyertaan yang telah terpilih! Alhamdulillah.

 

Pada 29 September 2020, kami telah dipanggil untuk membuat persembahan kepada para juri. Keputusan telah diumumkan pada penghujung bulan Disember 2020 dan hasilnya, Tropical Digital Waves telah diumumkan sebagai pemenang utama. Kesemua 13 artifak yang disenarai pendek telah dijemput untuk membuat Virtual Exhibition di galeri Malayan Banking Berhad yang akan diadakan pada bulan Mei 2021.

Sessi persembahan kepada para juri                                                                      Ahli yang terlibat, dari kiri Dr Norhuzailin, Dr. Shureen dan Iskandar Al-Khalifah

 

 
Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Shukor

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, 
Universiti Putra Malaysia

 

Date of Input: 12/03/2021 | Updated: 12/03/2021 | arizy

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEZIAl~