Biomekanik Dan Senibina Akar Mempari Ts. Emran Mohamad Taram | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» ARTICLE » Biomekanik Dan Senibina Akar Mempari Ts. Emran Mohamad Taram

Biomekanik Dan Senibina Akar Mempari Ts. Emran Mohamad Taram

Biomekanik Dan Senibina Akar Mempari Ts. Emran Mohamad Taram

Pokok berada dimana-mana sahaja di bumi Tropika Malaysia. Walaupun ia adalah objek biasa yang menjadi latar belakang dalam sekitaran kita, banyak perkara yang kita masih tidak faham kejadiannya. Pernahkah kita terfikir, adakah pokok mempunyai rasa, seperti lapar atau dahaga, lantas mengarahkan dirinya untuk mendapatkan sumber makanan? Dalam keadaan mereka tidak boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tidak mempunyai pilihan makanan, hanya bergantung kepada apa sahaja yang disediakan oleh alam, pokok boleh membesar sehingga mencecah berpuluh meter tinggi, dan mampu mencapai usia hingga beratus tahun lamanya. Dimanakah letaknya sistem arahan di dalam sebatang pokok, sepertimana otak berfungsi kepada manusia dan haiwan, atau seperti Unit Pemprosesan Pusat (CPU) di dalam komputer. Bagaimanakah ia menyusun regulasi dalam sistem fisiologinya tanpa mempunyai sistem arahan berpusat di dalam tubuhnya? Siapa yang perlu berfungsi dahulu, siapa yang kemudian, untuk mengelakkan pertindanan pergerakan cecair atau kanji di dalam tubuh bagi mengelakkan tersekat? Bahagian manakah di dalam pokok yang menjalankan arahan ini? Namun begitu, pokok akan tetap berbunga dan menghasilkan buah secara hampir tepat bila tiba musimnya.

Dalam tubuh sebatang pokok, ada tiga kategori pembahagian sistem dari sudut sains bagi memudahkan saintis berkerja, iaitu morfologi, anatomi dan fisiologi. Dari tiga bahagian ini, morfologi adalah lebih mudah untuk diterokai, kerana ianya adalah sifat luaran pokok yang dapat dilihat dengan mata kasar, seperti bentuk daun dan bunga, tekstur batang dan sebagainya. Sementara anatomi adalah bahagian dalamannya yang perlu dibelah untuk dilihat, dan fisiologi adalah bagaimana sistem-sistem ini berpadu membolehkan pokok terus hidup, melalui proses-proses seperti fotosintesis dan respirasi.

Secara morfologinya, dalam tubuh pokok, salah satu wira yang sering tidak didendang adalah bahagian akar. Biasanya keadaan kesihatan pokok dilihat berdasarkan bahagian atas iaitu batang, dahan dan daunya. Sedangkan faktor sebenar kesihatan pokok ini sebahagian besarnya berlaku bergantung kepada sistem akarnya. Bagaimana pokok boleh berdiri tegak dan memegang kanopinya yang berat tanpa tumbang, dan menghadapi cabaran alam seperti angin yang melonggarkan sistem cengkamannya, hujan yang menjadikan berat kanopi semakin bertambah, dan air hujan yang menyebabkan pegangan tanah menjadi longgar. Kajian ini dikenali sebagai bidang biomekanik dan senibina tumbuhan (plant biomechanic and architecture).

Berapa ramai dari kita yang pernah berpengalaman duduk dibawah akar pokok? Apakah yang dapat kita pelajari jika kita berpeluang untuk merasai pengalaman ini? Sebagai contohnya, kajian senibina akar pada pokok Mempari berikut, yang dijalankan oleh penulis, yang diringkaskan maklumatnya.

‘Pokok Mempari (Pongamia pinnata) hidup dalam dua alam yang sangat berbeza. Di bahagian atmosfera pucuknya diliputi oleh gas, di bahagian rhizosfera akarnya diliputi selain daripada gas, juga cecair dan pepejal. Bahagian akar Mempari, walaupun secara fizikalnya kelihatan sama dengan bahagian pucuk, kelihatan seperti kayu, tetapi secara anatominya berbeza melalui kedudukan tisu dalamannya. Walaupun berbeza, setiap apa yang berlaku pada satu bahagian, akan tetap memberi kesan kepada satu lagi bahagian yang lain.  Akar Mempari sangat kukuh, tahan dengan kepanasan matahari, dan toleransi dengan kemarau. Sistem akarnya sangat unik, mampu bercantum antara satu sama lain secara semulajadi menjadi jalinan yang kukuh memerangkap nutrien permukaan, mencengkam kukuh permukaan bumi, dan mengikat nitogen dari udara ke dalam tanah, menjadikan Mempari pokok yang mandiri dan berperanan utama dalam ekosistem semulajadi.’

Apa yang boleh kita pelajari dari maklumat ini dari sudut rekabentuk dan senibina?

 

 

 

                                                                 

Gambar 1 : Artifak akar Mempari dipamerkan di ruang pameran Visitor Information Centre (VIC), Taman Botani Putrajaya pada 26 September hingga 7 November 2023 sempena program SMArt Botanic Edu-Care 2023.

 

 

                                                         

 

Gambar 2 : Senibina akar Mempari amat menarik dari sudut sains, kerana mampu bercantum sesama sendiri secara semulajadi apabila bersentuh, menghasilkan pelbagai kemungkinan dan potensi untuk digunakan di dalam landskap.

 

 

       

Date of Input: 23/10/2024 | Updated: 23/10/2024 | marini

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
F, (03:16:41pm-03:21:41pm, 15 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]