Program SMArt Botanic Edu-Care | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» NEWS » Program SMArt Botanic Edu-Care

Program SMArt Botanic Edu-Care

LAr. Ts. Dr Roziya Ibrahim

Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kumpulan Penyelidik SPICE, Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM telah menganjurkan Program Komuniti SMArT Botanic Edu-CARE bermula pada 9 April 2022 sehingga 31 Mei 2022. Program ini merupakan satu inisiatif bersama yang telah dirancang di bawah MoU PPj - FRSB, UPM bagi menarik minat dan penglibatan komuniti untuk sama-sama berganding bahu menjaga landskap dan persekitaran Putrajaya ke arah Bandar Mampan 2025 selaras dengan Wawasan Rancangan Struktur Putrajaya 2014. Penglibatan komuniti di dalam program sebegini sangat penting dalam membantu pihak PPj mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030 terutama sekali dalam menyokong SDG 5 Pendidikan berkualiti dan SDG 11 Bandar dan Masyarakat Mampan termasuk melahirkan warga Putrajaya yang bestari (Smart Citizen of Putrajaya).

Penganjuran program ini turut bertepatan dengan aspirasi SULAM untuk mempersiapkan para pelajar senibina landskap dalam menyumbang kepada masyarakat melalui Service Learning Malaysia (SULAM) “University for Society”. Justeru itu, program SMArt Botanic Edu-Care diilhamkan bagi menyokong misi Fakulti Rekabentuk dan Senibina yang sentiasa menggalakkan integrasi program dan aktiviti komuniti sebagai sebahagian daripada aktiviti pengajaran studio rekabentuk dan subjek-subjek berkaitan senibina landskap. Selaras dengan motto “Berilmu Berbakti”, program ini memberikan peluang kepada para pelajar Bacelor Senibina Landskap tahun 1 dan tahun 2 mempraktiskan hasil pembelajaran studio asas rekabentuk landskap dan subjek operasi dan implementasi landskap di tapak sekolah melalui interaksi dengan pihak sekolah dan murid-murid dalam kumpulan masing-masing. Proses ini secara tidak langsung memberikan pendedahan awal kepada mereka berkenaan amalan professional arkitek landskap.

Matlamat utama program ini adalah menerapkan pembelajaran SMArt (Learning by Doing) ilmu botani dan meningkatkan kreativiti melalui SENI (Art) reka bentuk landskap dalam memupuk kesedaran dan kepentingan MENJAGA (Edu-Care) kelestarian alam sekitar terutama di kawasan bandar. Mensasarkan para guru dan pelajar di sembilan buah sekolah menengah di Putrajaya, program ini bermula dengan sesi Webinar pada 9 April 2022 yang memberikan penekanan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar serta pendedahan asas kepada bidang Botani dan Senibina Landskap yang sangat berkait rapat dan mempunyai peranan yang signifikan di dalam menyumbang kepada kelestarian persekitaran dan kesejahteraan sejagat.

Selain perkongsian ilmu secara teori, program ini diteruskan dengan Pertandingan Rekabentuk Landskap Sekolah yang memberi peluang kepada para peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh untuk menyumbang kembali kepada kelestarian Putrajaya dengan bimbingan yang sewajarnya daripada pakar-pakar botani dan seni bina landskap darpada Ppj dan UPM. Ini secara tidak langsung dapat membantu mewujudkan minat dan memupuk semangat cintakan alam sekitar di samping menyemai amalan lestari dalam kalangan pelajar sekolah. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sesi Webinar SMArt Botanic Edu-Care pada 9 April 2022

Pertandingan Rekabentuk Landskap – Saringan awal

 

Bermula dengan peringkat saringan awal, sembilan kumpulan sekolah diberikan tempoh lima minggu untuk menghasilkan rekabentuk landskap taman mini dengan kerjasama pelajar UPM dan diselia oleh para fasilitator yang terdiri daripada pegawai PPj dan UPM. Pada sesi penjurian yang berlangsung pada 13 Mei 2022, para juri professional pertandingan landskap yang dijemput khas daripada Taman Botani Putrajaya, UPM, Bahagian Pertanian Bandar, JPM dan Jabatan Pendidikan WP Putrajaya telah memilih lima rekabentuk landskap terbaik berdasarkan kualiti dan konsep rekabentuk yang bertepatan dengan syarat pertandingan. Lima kumpulan yang terpilih ke peringkat akhir seterusnya diberikan cabaran untuk membina taman tersebut di tapak sekolah masing-masing dalam tempoh dua minggu menggunakan bahan-bahan kitar semula dan bahan tanaman daripada Nurseri Taman Botani Putrajaya, disusuli dengan sesi penjurian akhir pada 31 Mei 2022.

 

 

 

 

Sesi Penjurian Akhir pada 31 Mei 2022

 

emuncak program ini merupakan Majlis Penghargaan Program SMArT Botanic Edu-Care yang telah berlangsung dengan meriah pada 30 Jun 2022, dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya. Selain penyampaian hadiah kepada para pemenang, majlis ini turut memberikan penghargaan kepada rakan kerjasama, para juri dan fasilitator serta para pelajar selain pameran hasil rekabentuk landskap setiap kumpulan.

 

Majlis Penghargaan Program SMArt Botanic Edu-Care

 

Keseluruhannya, program SMArt Botanic EduCare ini diharapkan dapat memberikan impak berterusan kepada semua peserta yang terlibat, bertepatan dengan matlamat SULAM. Selain pengembangan ilmu kepada masyarakat, pendekatan serampang tiga mata yang diterapkan dalam program ini juga dapat memperkukuhan hubungan jaringan industri bersama Perbadanan Putrajaya, dan Jabatan Pendidikan WP Putrajaya, selain memberikan peluang ahli akademik dan pegawai landskap daripada Jabatan Senibina Landskap, FRSB UPM dan Taman Botani Putrajaya berkongsi kepakaran masing-masing di dalam bidang botani dan senibina landskap kepada kumpulan sasaran.

Semoga pengalaman berharga yang diperolehi sepanjang 3 bulan program berlangsung bermanfaat kepada semua peserta dan usaha-sama PPj – UPM ini akan dapat diteruskan lagi melalui pelbagai program dan aktiviti komuniti di masa akan datang.

 

Barisan Fasilitator Program SMArt Botanic Edu-Care yang terdiri daripada pegawai PPj dan UPM

Date of Input: 02/08/2022 | Updated: 02/08/2022 | uswahhasanah

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
WXFUEAe~