PERTANDINGAN ARCA JERAMI, PROGRAM FESTIVAL D'BENDANG
Dr. Noor Azizi bin Mohd. Ali
RAMBAI, 11 Ogos 2024 - Tahniah atas kemenangan sebagai Juara bagi Kumpulan Sukma Wijaya daripada Fakulti Rekabentuk dan Senibina ,Universiti Putra Malaysia di dalam Pertandingan Arca Jerami, Program Festival D'bendang yang telah diadakan di Kampung Parit Penghulu, Sg. Rambai, Melaka.
Arca yang bertemakan Suasana Bendang ini di kala mengamati bendang yang terbentang luas, mata terpaku pada sekumpulan burung-burung bangau yang hinggap menumpang di belakang kerbau. Sang kerbau pula tanpa rasa terganggu, membiarkan ungas itu menguliti dan bersantai di belakang badannya. Umpama sahabat sejati, mereka saling berkongsi keindahan sawah padi dan membantu di dalam satu pengolahan alam yang begitu indah.
Momen inilah yang disingkap dalam pengolahan arca jerami padi yang bertajuk “setinggi-tinggi terbangnya bangau akhirnya hinggap di belakang kerbau juga”, perihal kisah seorang pengkarya yang berjuang di luar daerahnya tapi akhirnya pulang kembali ke tempat asalnya.

Struktur utama arca ini adalah gabungan antara besi dan juga buluh. Jalinan-jalinan jerami diikat pada rangka besi dan buluh bagi menghasilkan bentuk kerbau dan burung bangau.
Pun begitu, pengunaan jerami semata-mata akan menghasilkan pengolahan yang ‘monotonous’ dan membosankan, justeru, bahan alami seperti upeh pinang juga seludang palma madagaskar digabungkan bagi membentuk paruh bangau, telinga dan juga tanduk kerbau.
Ini bukan sahaja mewujudkan nilai kontras malah memberikan tekstura yang lebih indah dan mengesankan. Pengolahan bahan alami ini sendiri memberikan kesan nostalgik juga kesepaduan pada keseluruhan citra pengolahan karya arca ini.
Tajuk ARCA: Setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau.
Ahli SUKMA WIJAYA:

Date of Input: 09/09/2024 | Updated: 09/09/2024 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR
tdaafrsb@upm.edu.my