
SEMPORNA, 5 September 2024 - Seramai 15 orang pelajar daripada program Master Pengurusan Landskap Lestari baru-baru ini telah mengadakan Lawatan Akademik dari 5 hingga 8 September 2024 (4 hari 3 malam) ke Semporna, Sabah. Lawatan Akademik ini diiringi oleh Dr. Azmiah Abd Ghafar, pensyarah daripada Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman pelajar mengenai pengurusan landskap mampan di kawasan pesisir pantai dan marin yang kaya dengan keindahan semula jadi.
Lawatan pada hari pertama dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh pihak penganjur tempatan mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem di kawasan tersebut. Mereka juga diberi gambaran tentang cabaran yang dihadapi dalam pengurusan landskap pesisir, khususnya berkaitan dengan pembangunan dan pelancongan.
Seterusnya pada hari kedua, para pelajar telah menerokai pulau-pulau yang telah dikenalpasti di Semporna seperti Bohey Dulang, Mantabuan dan Mataking. Mereka sendiri berpeluang melihat secara dekat keanekaragaman biologi di habitat ini. Para pelajar turut berkesempatan ntuk melakukan aktiviti snorkling dan diving di laut biru dalam. Sesi ini turut merangkumi aktiviti pemantauan kesan pembangunan terhadap ekosistem semula jadi.

Pada hari ketiga, lawatan diteruskan dengan interaksi bersama masyarakat tempatan, penduduk Bajau Laut di mana para pelajar mendalami amalan tradisional dalam menjaga kelestarian alam. Masyarakat setempat berkongsi pandangan tentang bagaimana mereka menyeimbangkan keperluan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.
Pada hari terakhir, sesi refleksi dan pembentangan dibuat oleh para pelajar, di mana mereka merumuskan pemerhatian serta cadangan untuk penambahbaikan pengurusan landskap di Semporna. Lawatan ini diakhiri dengan perbincangan tentang aplikasi praktikal ilmu yang dipelajari dalam konteks pengurusan landskap mampan.
Secara keseluruhan, program ini berjaya meningkatkan kesedaran alam sekitar dan memberi perspektif yang lebih mendalam kepada pelajar tentang kepentingan pengurusan landskap yang lestari di kawasan-kawasan yang sensitif secara ekologi seperti Semporna.
Date of Input: 23/10/2024 | Updated: 23/10/2024 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR
tdaafrsb@upm.edu.my