INSAN KELAINAN UPAYA MAMPU BERTANI TANPA TANAH PERTANIAN | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» NEWS » INSAN KELAINAN UPAYA MAMPU BERTANI TANPA TANAH PERTANIAN

INSAN KELAINAN UPAYA MAMPU BERTANI TANPA TANAH PERTANIAN

Oleh

Ts. Dr. Velu Perumal

Jabatan Reka Bentuk Perindustrian

 

Sejak bermulanya ancaman Koronavirus 2019 (Covid-19), pihak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia. Di awal perancangan PKP ini, rakyat secara terburu-buru melakukan pembelian bagi memperolehi bahan makanan dan keperluan harian. Tindakan masyarakat ini hanya berpunca daripada khabar angin oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sedangkan pihak kerajaan telah banyak mengingatkan dan berjanji bahawa bahan makanan negara adalah mencukupi.

 

Sehingga hari ini, ancaman Covid-19 masih berada di tahap bahaya dan membimbangkan. Bagi membendung penularan wabak Covid-19, pihak kerajaan sentiasa memantau dan melaksanakan pelbagai perintah kawalan pergerakan yang berlaku secara berterusan dan bersasar. Tindakan ini telah menjejaskan ekonomi pelbagai pihak terutamanya golongan B40 and OKU. Secara umumnya, penularan wabak covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan telah menjadi satu masalah besar kepada masyarakat kelainan upaya. Ini ditambah dengan faktor keupayaan fizikal mereka dan pergerakan yang terhad menyebabkan mereka semakin sukar untuk mendapatkan barang-barang harian di samping turut dibebani dengan kenaikan harga bahan tersebut.

 

Namun, keprihatinan pihak berkuasa dan masyarakat setempat sedikit sebanyak dapat membantu meredakan keadaan dan meringankan setiap masalah yang mereka dihadapi. Perkara ini juga dikongsi bersama penulis yang juga merupakan fasilitator Kursus Pembangunan Kesukarelawanan QKU2203II (K8) bersama seramai 36 pelajar tahun 1 program Bacelor Reka Bentuk Perindustrian (BRBP) dengan kepujian, Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM dengan mengambil inisiatif bagi membantu golongan kurang upaya ini melalui penganjuran bengkel hidroponik bertajuk Skills to Property.

 

Bengkel hidroponik ini telah berlangsung secara maya pada 19 dan 20 Jun 2021. Bengkel Skill to Property bertujuan untuk memperkenalkan kaedah penanaman hidroponik kepada golongan B40 dan penghuni kurang upaya Rumah Insaniah Tun Dr. Siti Hasmah serta Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Selangor & Wilayah Persekutuan. Selain daripada perkongsian kemahiran berkaitan dengan penanaman hidroponik, peserta bengkel juga telah dibekalkan set hidroponik bagi membolehkan mereka memulakan penanaman seperti sayur-sayuran melalui kaedah tanaman hidroponik.

 

Walaupun tanaman tanpa tanah atau tanaman berasaskan larutan air dan nutrisi ini telah lama diperkenalkan, namun ia adalah lebih signifikan kepada golongan yang terkesan oleh penularan wabak Covid-19. Kaedah penanaman yang diperkenalkan ini, membolehkan para peserta menghasilkan sayur-sayuran segar dengan kadar cepat untuk kegunaan keluarga. Ianya juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan peserta.

 

Gambar 1: Peserta Kursus Pembangunan Kesukarelawanan QKU2203II

 

Gambar 2: Peserta daripada golongan orang kurang upaya

Gambar 3: Bantuan set hidroponik kepada peserta bengkel

Date of Input: 18/08/2021 | Updated: 18/08/2021 | arizy

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
BUJYHAp:07:37