25 TAHUN PENUH GEMILANG BUAT WARGA FRSB | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» NEWS » 25 TAHUN PENUH GEMILANG BUAT WARGA FRSB

25 TAHUN PENUH GEMILANG BUAT WARGA FRSB

Sarah Salwah Adnan & Madiha Hailani

 

Pada tahun 2021 genaplah 25 tahun Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) wujud sebagai sebuah entiti akademik di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sejak penubuhannya pada 26 Jun 1996, FRSB terus maju dengan pencapaian yang memberangsangkan dari segi pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan perundingan profesional dan juga khidmat masyarakatnya.

Fakulti Rekabentuk dan Senibina ini terbina hasil daripada idea Dr. Mustafa Kamal Mohd Shariff, Dr. Noorizan Mohamed, Dr. Nordin Abdul Rahman , En. Nor’Azam Shuib serta Allahyarhamah Puan Norain Rejab. Pasukan Pengasas FRSB ini telah bertungkus lumus dan bekerja keras menyiapkan perancangan awal penubuhan Fakulti dan kertas kerja penubuhan FRSB pada sekitar tahun 1994. Kertas kerja ini seterusnya mendapat kelulusan Senat UPM dan Kementerian Pendidikan Malaysia, dan FRSB secara rasminya telah dilahirkan pada 26 Jun 1996. Oleh yang demikian, lima orang Pendekar dan Serikandi ini, akan sentiasa diingati dan terpahat sebagai Pengasas Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM. Terima kasih Dr. Mustafa Kamal Mohd Shariff, Dr. Noorizan Mohamed, Dr. Nordin Abdul Rahman, En. Nor’Azam Shuib dan Allahyarhamah Puan Norain Rejab.

Program Sambutan 25 tahun FRSB telah dilaksanakan bermula dari 26 Jun 2021 sehinggalah 28 Mac 2022. Beberapa buah program telah dianjurkan oleh setiap jabatan dan melibatkan semua warga FRSB iaitu staf, mantan staf, pelajar dan alumni FRSB. Antaranya adalah Majlis Pembukaan Sambutan Jubli Perak 25 tahun FRSB, Experimental Contruction SEED 2021, Bual Santai Senibina, Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) FRSB dan 25 Years Tree for Life.

Objektif program adalah untuk memperingati penubuhan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) dan sorotan kecemerlangan sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya dan mempromosikan FRSB ke tahap yang lebih tinggi untuk tujuan pengajaran, penyelidikan serta jaringan industri dan masyarakat.

Justeru itu,bagi menutup secara rasminya program sambutan 25 tahun FRSB, satu Majlis Penutupan telah diadakan pada 1 Julai 2022 (Jumaat) yang dirasmikan oleh Yang Hormat Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM. Majlis ini turut menjemput ahli-ahli Pengurusan Universiti (JPU), semua Dekan dan Pengarah Institut, staf, mantan staf, pelajar, alumni FRSB dan pihak Industri.

Majlis dimulai dengan paluan kompang dan persembahan silat menyambut ketibaan Yang Hormat Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM , diiringi oleh Dekan FRSB, Prof. Madya LAr. Dr. Suhardi Maulan, Prof. Dato’ Dr. Abdul Muati@Zamri bin Ahmad, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) dan Ahli Pengurusan Fakulti. 

Di dalam majlis ini turut diadakan sesi pelancaran Buku Pelan Strategik FRSB 2021-2025, pelancaran penjenamaan semula Padang FRSB kepada Arena FRSB dan juga penyampaian Anugerah Apresiasi kepada Pengasas FRSB ; satu penghargaan buat mereka yang terlibat semasa penubuhan FRSB bermula tahun 1996. Majlis turut diserikan dengan persembahan koir dari 25 orang pelajar tahun Pertama program Bacelor Rekabentuk. Dekan FRSB, Prof. Madya LAr. Dr. Suhardi Maulan, Prof. Dato’ Dr. Abdul Muati@Zamri bin Ahmad, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) dan Ahli Pengurusan Fakulti telah dijemput untuk bersama-sama dalam sesi pemotongan kek dan pulut kuning 25 tahun FRSB. Bagi mengakhiri majlis, para tetamu telah dijemput untuk melawat pameran 25 tahun dari setiap jabatan. Pameran ini mempamerkan program jabatan, aktiviti penyelidikan serta pencapaian  yang telah diperoleh FRSB sepanjang 25 tahun ini.

25 tahun adalah satu jangkamasa yang telah mendewasakan warga FRSB. Memori sepanjang 25 tahun FRSB akan terus kekal di dalam pemikiran warga FRSB. Staf datang dan pergi, pelajar mendaftar dan bergraduat, Dekan dan Ketua Jabatan silih berganti, namun satu perkara yang akan terus kekal di FRSB adalah falsafah, iltizam dan kerja keras semua warga FRSB selaras dengan motto FRSB, Cemerlang Budaya Kita. InsyaAllah FRSB akan terus berada di bumi UPM ini.

 

  

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 01/08/2022 | Updated: 01/08/2022 | uswahhasanah

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
WXFUDAE~