Reka Bentuk Bandar, Pandemik Covid-19 Dan Kesejahteraan Penghuni Bandar | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Reka Bentuk Bandar, Pandemik Covid-19 dan Kesejahteraan Penghuni Bandar

Reka Bentuk Bandar, Pandemik Covid-19 dan Kesejahteraan Penghuni Bandar

Pandemik Covid-19 telah mengubah corak kehidupan harian dan interaksi sosial manusia.   Ianya membuka mata pihak bertanggungjawab dan warga masyarakat akan pentingnya persekitaran bandar berdaya tahan terhadap penularan penyakit untuk kesihatan dan kesejahteraan penghuninya. Berdasarkan Tinjauan  Kebangsaan  Kesihatan  dan  Morbiditi  atau National  Health  and  Morbidity Survey (NHMS)  tahun 2019,  hampir  setengah  juta  rakyat  negara  ini  yang  berada  dalam  kalangan  kategori dewasa (2.3 peratus) didapati mengalami simptom tekanan atau depresi. Daripada jumlah ini, majoriti  individu yang terkesan adalah individu dalam golongan B40 (2.7 peratus), diikuti oleh golongan M40 (1.7 peratus) dan T20 (0.5 peratus) (Abdul Rashid  Abdul Aziz, 2020). Lebih membimbangkan adalah peningkatan kes tekanan emosi  dan mental dalam kalangan masyarakat semasa pandemik, terutamanya bagi penghuni yang tinggal di pusat bandar akibat dari desakan ekonomi dan perubahan mendadak gaya hidup sosial.

Setelah menjangkau lebih dari setahun, tiada tanda yang jelas menunjukkan pandemik Covid-19 dapat ditangani sepenuhnya. Penjarakan fizikal (physical distancing) dan penjarakan sosial (social distancing)  membatasi interaksi sosial dan daya hidup bandar. Bagaimanakah mengadaptasi situasi di luar jangka ini? Apakah perancangan untuk persekitaran sihat dan selamat dari penularan wabak seperti Covid-19? Perancangan dan reka bentuk bandar pasca-Covid-19  harus memastikan persekitaran bandar berfungsi bagi orang ramai melakukan aktiviti ekonomi dan rekreasi yang penting untuk kelangsungan hidup dengan kestabilan fizikal, mental dan sosial mereka.

Pandemik Covid-19 di dalam bandar | Sumber: thedgemarkets.com (2020)

 

Dalam konteks reka bentuk dan perancangan bandar, tinjauan kajian ilmiah mendapati antara konsep dan pendekatan yang diketengahkan bagi menyokong gaya dan corak aktiviti manusia di kawasan dan ruang bandar semasa dan pasca-pandemik termasuk:

 

  •    Konsep bandar sihat – ruang aktiviti fizikal dan akses ruang hijau

 

Kawasan hijau bandar, bersama dengan potensi latihan fizikal, memberi kesan positif terhadap kesihatan fisiologi dan psikologi penduduk bandar (Yılmaz & Mumcu, 2016). Kajian di negara membangun menunjukkan bahawa penggunaan berkala ke taman dapat mengurangkan masalah kesihatan dan meningkatkan tahap kepuasan hidup (Yigitcanlar, et al., 2020). Akses kepada taman dan ruang hijau di kawasan kejiranan perlu dipertingkatkan  bagi mendorong lebih banyak aktiviti riadah di persekitaran semulajadi seperti berjalan, berlari dan berbasikal yang bermanafaat bagi kesihatan fizikal dan mental. Kajian oleh Arami (2021) berkaitan corak penggunaan taman awam di Putrajaya sebelum dan semasa pandemik Covid-19 merumuskan pentingnya menyediakan akses kepada  orang ramai ke taman awam dalam jarak berjalan kaki dari rumah dan tempat bekerja; dan memastikan bahawa ruang awam menyediakan tempat duduk pada jarak yang selamat dan mematuhi SOP untuk melindungi warga tua dan kumpulan berisiko yang lain. Aspek kebersihan ruang awam dan ruang udara juga perlu diberi perhatian supaya pengguna dilindungi dari ancaman jangkitan. Aspek penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Covid-19 juga penting untuk memastikan pengguna taman awam merasa selamat ketika beriadah.

Penggunan taman awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) | Sumber : Malay Mail (2020)

 

 

  • Penjarakan sosial dan implikasinya terhadap reka bentuk ruang awam 

 

Wabak Covid-19 perlu dibendung melalui penjarakan sosial. Edward T Hall di dalam bukunya yang bertajuk “The Hidden Dimension” (1966) menggariskan jarak inter--personal antara manusia. Menurut kajian, ruang peribadi berubah mengikut perbezaan budaya dan pilihan peribadi seseorang. Rata-rata, pilihan berbeza antara negara. Kajian oleh Sorokowska (2017), mendapati bahawa pilihan ruang peribadi terhadap orang asing berkisar antara lebih dari 1.2m di Romania, Hungary dan Arab Saudi, dan kurang dari 0.9m di Argentina, Peru, Ukraine dan Bulgaria. Penjarakan sosial akibat wabak Covid-19 menetapkan 1.0m sebagai jarak sosial untuk mengurangkan risiko jangkitan virus. Jarak ini boleh di ambil kira di dalam mengadaptasi reka bentuk ruang awam pasca-Covid19. 

Carta jarak inter-personal antara manusia Rajah kiri dan a) Edward T Hall (1966) , b) Hayduk (1981), c) Helbing and Molnar (1995) dan d) Grin-Lajoie et al. (2008) 

Sumber : https://www.bi.team

 

 

  • Konsep Bandar 15-minit 

 

Kawalan pergerakan menghadkan aktiviti dalam lingkungan berdekatan untuk mengelakkan penularan wabak. "Bandar 15 minit" didefinisikan sebagai perancangan bandar ideal di mana kebanyakan keperluan dan kehendak penghuninya terletak dalam jarak perjalanan15 minit (Duany, 2021). Konsep bandar ini menekankan ciri  kedekatan (proximity), jalan kaki (walkability) di kejiranan dan interaksi sosial di dalam bandar. Konsep bandar ini menerapkan perjalanan minimum di antara rumah ke bangunan, kemudahan dan ruang awam dengan masa15 minit berjalan kaki. Ianya juga mengambil kira aspek keselamatan bandar. Sebagai contoh, perancangan berkonsep kejiranan di Putrajaya dengan kemudahan pejalankaki dan berbasikal menepati ciri bandar seperti ini. Perancangan berasaskan komuniti berskala lebih kecil dan self-contained ini mewujudkan potensi untuk komuniti yang lebih sihat, selamat, dan berdaya tahan.



 

  • Adaptasi jangka pendek reka bentuk ruang bandar - Reka bentuk bandar taktikal (tactical urban design)

 

 

Reka bentuk bandar taktikal merujuk kepada pendekatan secara komuniti untuk membangun atau menambah baik  ruang kejiranan menggunakan intervensi jangka pendek, murah, dan berskala kecil.  Contohnya, laluan di kawasan perumahan atau pusat bandar sediada boleh di adaptasi mengikut keperluan penjarakan sosial di mana keutamaan di beri kepada keperluan ruang pejalan kaki berbanding ruang kenderaan. Tujuannya adalah bagi meningkatkan kualiti ruang awam seperti lorong pejalan kaki dan ruang terbuka yang memudahkan pergerakan dan aktiviti pengguna semasa pendemik Covid-19. 


Aktiviti ekonomi dan sosial perlu diteruskan dengan norma baharu. Ruang awam perlu diadaptasi sesuai dengan keperluan semasa dan akan datang. Oleh yang demikian, pereka bandar  harus memberi tumpuan kepada kualiti dan aksesibiliti ruang hijau, ruang aktif, ruang pro-sosial, dan bandar sihat dan selamat. Melalui perubahan konsep reka bentuk bandar mahupun intervensi jangka pendek bersama komuniti, pereka bandar pasca-pandemik perlu menangani isu persekitaran dan ruang bandar melalui adaptasi dan perubahan yang mementingkan kesejahteraan mental dan sosial penghuni bandar.

 
 
Prof. Madya Ts. Dr. Norsidah Ujang
Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 05/05/2021 | Kemaskini: 05/05/2021 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDcVAn~