LANDSKAP UNTUK PERKHIDMATAN EKOSISTEM BANDAR | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » LANDSKAP UNTUK PERKHIDMATAN EKOSISTEM BANDAR

LANDSKAP UNTUK PERKHIDMATAN EKOSISTEM BANDAR

Adalah dijangkakan bahawa lebih 60 peratus penduduk dunia akan tinggal di kawasan bandar menjelang tahun 2030. Ini terbukti dengan pertumbuhan pelbagai kawasan bandaran baharu yang lebih kompleks dan komprehensif khususnya di negara-negara membangun seperti Malaysia. Walaubagaimanapun, jika pembangunan bandar tidak diseimbangkan dengan landskap yang sempurna, ia akan mewujudkan suatu suasana alam bina yang tidak bermaya. Justeru, landskap bandar perlu dirancang, direka bentuk, dibangunkan dan diurus sebijak mungkin untuk kepentingan alam dan kelangsungan kehidupan bandar. Perkembangan ini meletakkan amalan seni bina landskap antara bidang penting dan mencabar selari dengan pembangunan sejagat.

 

Mengimbas perkembangan amalan seni bina landskap, ia muncul hasil pembangunan taman. Taman mula berkembang pesat pada kurun ke-16, dibangunkan secara ekslusif di kawasan-kawasan persendirian khususnya perkarangan istana, harta di raja, rumah bangsawan mahupun kompleks keagamaan. Apabila pembangunan taman berkembang melangkaui kawasan awam, reka bentuk dan pembangunan taman menjadi semakin intensif. Taman awam telah menjadi sebahagian daripada pembangunan bandar dan peranannya menjadi semakin kompleks. Oleh itu, di abad ke-19, amalan seni bina landskap mula diperkenalkan kepada pakar reka taman khususnya taman awam dan seterusnya tersebar meluas apabila banyak taman-taman bandar baharu dibangunkan.

 

Kini, dengan kehidupan bandar yang semakin kompleks, persekitaran alam bina yang semakin tepu dan sumber yang semakin terhad, landskap menjadi semakin relevan dan sangat signifikan kepada semua masyarakat. Skop profesional pada masa kini sedang merentasi amalan konvensional ke arah wawasan pembangunan yang lebih lestari – melibatkan pembangunan dan pengurusan ekosistem bandar serta persekitaran habitat manusia untuk kelangsungan hidup.

 

Infrastruktur Hijau

 

Infrastruktur hijau merupakan satu pendekatan secara kolektif dalam pembangunan landskap bandar pada masa kini. Ia merujuk kepada intergrasi kawasan atau hub hijau bandar dan rangkaiannya untuk memberi nilai landskap yang lebih signifikan khususnya pada fungsi dan perkhidmatan ekosistem bandar seperti:

  • ruang habitat untuk pelbagai hidupan bagi meningkatkan biodiversiti bandar;
  • tempat tadahan, takungan dan kawalan aliran air hujan dalam stormwater management;
  • sumber rekreasi kepada penghuni bandar ke arah gaya hidup sihat dan sejahtera;
  • hutan bandar dan perkebunan untuk meningkatkan produktiviti bandar; serta
  • elemen semulajadi yang dapat mengawal iklim mikro, kitaran nutrien dan sebagainya.

 

Infrastruktur hijau amnya merangkumi pelbagai ruang hijau berkualiti, kawasan dan rangkaian hijau bandar yang saling berhubungan di antaranya seperti hutan bandar, taman-taman rekreasi, tanah lembab, kolam takungan, kawasan perkebunan, koridor sungai dan sistem saliran, parkways serta pelbagai jenis ruang hijau yang wujud di dalam bandar untuk kemudahan dan kestabilan ekosistem bandar.

 

Landskap Vertikal

 

Pembangunan fizikal dan infrastruktur di kawasan bandar menyumbang kepada pengurangan ruang dan kawasan hijau bertanah. Landskap vertikal adalah satu trend terkini dan semakin popular dalam reka bentuk bangunan untuk meningkatkan kehijauan bandar-bandar moden. Penanaman tumbuh-tumbuhan pada permukaan dinding serta bumbung bangunan secara intensif adalah inovasi amalan hortikultur bandar yang respon terhadap isu persekitaran dan landskap bandar. Tumbuh-tumbuhan dan tanah yang menyeliputi bangunan bertindak sebagai bahan penebat semulajadi – secara teorinya boleh mengurangkan suhu dalaman dan secara langsung menjimatkan penggunaan tenaga. Ini adalah sebahagian daripada sumbangan terhadap kualiti ekosistem bandar.

Pada sudut yang lain, landskap bandar sering dikaitkan dengan kualiti visual semulajadi yang rendah. Bangunan-bangunan pencakar langit dan permukaan berkaca mendominasi ruang dan mengwujudkan pandangan yang kaku dan terhad. Dengan pendekatan Live Wall seumpama ini, kualiti visual landskap bandar dapat juga ‘dilembutkan’ dan ‘dihidupkan’ melalui kehadiran tanaman sebagai elemen semulajadi pada bangunan-bangunan tinggi.

 

 

Kebun bandar

 

Umum mengetahui, tanah bandar bukanlah dikhususnya untuk aktiviti pertanian kormesial berskala besar. Kawasan hijau bandar khususnya diperuntukkan untuk tujuan rekreasi dan konservasi zon penampan hijau. Namun sejak kebelakangan ini, kebun bandar telah mula menjadi satu amalan di peringkat komuniti bandar, iaitu mengusaha tanah dan ruang tidak produktif kepada suatu kawasan penanaman yang aktif walaupun dalam ruang yang terhad. Sayur-sayuran banyak ditanam dan memberikan pulangan setimpal dengan usaha yang dilakukan.

 

Dalam amalan seni bina landskap, kebun bandar bukan sahaja dilihat pada produktiviti dan keperluan kelangsungan hidup, malah kualiti dan fungsi ruang kepada komuniti dan persekitaran. Transformasi ruang kepada taman yang lebih berfungsi seperti taman etnobotani, kebun dapur, dusun buah-buahan dan sebagainya menonjolkan kreativiti serta meningkatkan fungsi kesenggangan, interaksi sosial dan persekitaran dalam komuniti. Lebih daripada itu, integrasi pendekatan Rain Garden dan amalan organik pada taman berkenaan dapat memperkasa kualiti dan perkhidmatannya terhadap ekosistem dalam konteks pengurusan tanah dan air hujan serta amalan hidup sihat.

 

 

Pengurusan Landskap

 

Dalam memastikan prestasi landskap untuk perkhidmatan ekosistem bandar, landskap perlulah diuruskan dengan efisyen dan sistematik. Sebagai sumber penting, pengoperasian organisasi pengurusan yang baik diperlukan seperti sistem pentadbiran dan pengawasan serta prosedur dan kawalan. Sumber manusia yang mahir, berkebolehan, berkemampuan dan berdaya cipta tinggi merupakan enjin sesebuah organisasi dalam memastikan landskap bandar sentiasa berfungsi dengan sempurna.

 

Pengurusan landskap umumnya bermula daripada peringkat perancangan, reka bentuk, perlaksanaan sehingga ke peringkat selepas siap bina sesuatu projek. Kelemahan pengurusan boleh mengakibatkan insiden yang tidak diingini seperti pokok tumbang, banjir kilat, tanah runtuh dan sebagainya. Oleh itu, pengurusan landskap tersedia siap bina adalah sangat signifikan dan mesti dilihat secara kolektif dan perlu terdapat koordinasi di kalangan agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan bandar demi kelestarian ekosistemnya.

 

Kesimpulannya, pembangunan landskap masa kini perlu merentasi amalan konvensional bagi mendukung kelangsungan kehidupan bandar serta kelestarian dan kestabilan ekosistem. Landskap adalah satu aset utama kepada bandar yang membekalkan sumber penting seperti air, udara bersih dan ruang yang dapat memberikan sumbangan kepada kesihatan manusia dan kesejahteraan bandar.

 
En. Abd Aziz Othman

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, 
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 19/08/2021 | Kemaskini: 30/12/2021 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEOAAo~