UPM ANJUR PROGRAM 25 TAHUN POHON UNTUK KEHIDUPAN | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» NEWS » UPM ANJUR PROGRAM 25 TAHUN POHON UNTUK KEHIDUPAN

UPM ANJUR PROGRAM 25 TAHUN POHON UNTUK KEHIDUPAN

Prof. Madya Dr. Mohd Fairuz Shahidan

 

Bersempena dengan sambutan 25 tahun Jubli Perak Fakulti Rekabentuk dan Senibina dan juga Jubli Emas Universiti Putra Malaysia, satu program 25 tahun Pohon Untuk Kehidupan telah diadakan di perkarangan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia pada 25 Mac 2022.

Program ini melibatkan penanaman pokok secara serentak di sekitar fakulti yang melibatkan penglibatan seluruh warga fakulti termasuk pihak industri, alumni, staf, para pelajar Fakulti Rekabentuk dan Senibina secara keseluruhan.

Penanaman sebanyak 25 pokok tempatan dan endemik di sekitar Fakulti adalah simbolik kepada permulaan usia pertumbuhan Fakulti yang lebih mencabar bagi 25 tahun yang mendatang. Ini direalisasikan dengan kematangan pokok-pokok terpilih yang akan tumbuh selari dengan kematangan fakulti yang di usahakan sendiri oleh warga Fakulti.

Selain dari menyokong sambutan 25 tahun FRSB yang sedang berlangsung di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, aktiviti ini dapat mengimarahkan penghijauan persekitaran Fakulti melalui inisiatif Kampus Lestari UPM (UPM Sustainable Campus). Program in juga telah disenarai dan didaftarkan didalam Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi inisiatif Rancangan Malaysia ke-12.

Timbalan Pengarah Pusat Hubungan dan Jaringan Industri, UPM, Prof. Madya Dr. Amir Syahir Amir Hamzah  telah hadir mewakili Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat untuk menyempurnakan majlis perasmian dengan menanam satu pokok Dialium indum (Keranji) di perkarangan padang Fakulti Rekabentuk dan Senibina.

Sebanyak 25 batang pokok tempatan dan endemik telah ditaja oleh pihak industri, alumni serta staf Fakulti Rekabentuk dan Senibina untuk ditanam sekitar Fakulti. Ini menandakan kerjasama yang erat yang terjalin di antara pihak Fakulti, Industri serta Alumni yang seterusnya meraikan tema program ‘Sepakat Membawa Berkat’.

Dengan berlangsungnya program ini dapatlah pihak Fakulti dan juga Universiti menyokong inisiatif Kampus Lestari dan seterusnya menyumbang kepada kempen ‘Penanaman 100 Juta Pokok’ negara.

Program ini juga dilihat memberi impak yang amat bermakna terutamanya di dalam jalinan kerjasama universiti awam di Malaysia dengan pihak industri dan juga Alumni Universiti Putra Malaysia.

 

Date of Input: 21/06/2022 | Updated: 21/06/2022 | uswahhasanah

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
CVGZHAK:07:15