TANGGAM FESTIVAL 2024: CENTRAL CHAPTER | PENYATUAN IDEA DAN KREATIVITI PEREKABENTUK PERINDUSTRIAN MUDA DI UPM
Ts. Dr. Rosalam Che Me
SRI SERDANG, 10 Jun 2024 - Program Tanggam Festival 2024: Central Chapter telah berlangsung dengan meriah selama dua hari (10 &11 Jun 2024), dianjurkan oleh Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Tanggam Design Center (TDC) di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Program ini menjadi platform perhimpunan, perbincangan, dan jaringan bagi para perekabentuk perindustrian muda di Malaysia.
Tanggam Festival pertama kali dianjurkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mewakili zon Pantai Timur (Eastern Chapter) pada Januari 2023. Program ini kemudian diperluaskan ke Zon Utara, dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah sebagai tuan rumah pada November 2023. Seterusnya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil giliran menganjurkan program ini bagi Zon Selatan pada Disember 2023. Kini, untuk Central Chapter, UPM melalui Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), telah dipilih sebagai penganjur bersama dengan MTIB bagi meneruskan siri kejayaan ini untuk meliputi zon Tengah.
Program dua hari ini bermula pada 10 Jun 2024 dengan ucapan pembukaan oleh Ts. Farydatul Nazly Mohd Zin, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan dirasmikan oleh Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM. Program diteruskan dengan Design Talk dan forum pada hari yang sama. Topik forum adalah “Navigating Challenges and Harnessing Opportunities in Malaysia's Furniture and Timber Industry”, bersama tiga panel jemputan iaitu Prof. Dr. Jegatheswaran Ratnasingam dari UPM, Encik Walter Tan, dari Elemental Republic Sdn. Bhd dan Encik Harith Ridzuan, dari Green Factory serta dimoderasikan oleh Ts. Dr. Rosalam Che Me, dari UPM. Perbincangan merangkumi aspek kelestarian untuk masa depan yang lebih hijau, memanfaatkan kemajuan teknologi, mengatasi cabaran industri, memanfaatkan trend reka bentuk, sokongan dan rangka kerja dasar kerajaan serta visi masa depan industri perabot dan kayu Malaysia. Hari pertama berakhir dengan majlis makan malam (Gathering Dinner) dengan persembahan oleh wakil-wakil pelajar setiap universiti.
Hari kedua dimulakan dengan taklimat mengenai aktiviti utama, iaitu Design Jam - satu pertandingan reka bentuk ekperimental. Design Jam berlangsung selama 3 jam dan sesi penjurian oleh wakil industri dan pereka bentuk profesional yang dilantik khas. Hari kedua berkahir dengan majlis penutupan dan penyampaian anugerah. Terdapat tujuh anugerah untuk Design Jam dan pemenang keseluruhan Design Jam adalah UiTM Shah Alam, yang memenangi Anugerah "Best of the Best".
Program Tanggam Festival 2024: Central Chapter ini telah menyaksikan jumlah kehadiran melebihi 250 orang, termasuk krew dan staf FRSB dan MTIB, pelajar dan pensyarah dari 10 universiti yang terlibat iaitu UPM, UMK, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UTHM, UiTM Shah Alam, UiTM Melaka, UiTM Kedah, Universiti Kuala Lumpur Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI), Malaysian Institute of Art dan German-Malaysian Institute (GMI), serta penceramah, panelis, dan juri.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan kreativiti dan kemahiran peserta terutama dalam aktiviti pembangunan reka bentuk perabot, serta menjadi antara platform terbaik untuk pertukaran idea, jaringan, dan kemungkinan kerjasama. Ia juga secara tidak langsung menjadi medium promosi dan pendedahan kepada peserta terhadap label Tanggam Design Center (TDC) oleh MTIB. Siri jelajah Tanggam Festival dijangkan terus berkembang ke zon-zon yang lain dan akan diangkat menjadi acara tahunan pada masa akan datang.




Date of Input: 17/07/2024 | Updated: 17/07/2024 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR
tdaafrsb@upm.edu.my