PROGRAM LAWATAN PROFESOR PELAWAT KEHORMAT, PROFESOR EMERITUS ECKART LANGE KE FRSB
LAr Ts Dr. Roziya Ibrahim
SRI SERDANG, 25 Jun 2024 - Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina telah menganjurkan Program Lawatan Profesor Pelawat Kehormat, Profesor Emeritus Dr. Eckart Lange, daripada University of Sheffield, United Kingdom pada 25 - 28 Jun 2024. Pelbagai program telah dirancang sempena lawatan tersebut yang merangkumi kolokium landskap, lawatan teknikal Ke Gamuda Coves, perbincangan kolaborasi penyelidikan, serta seminar terbuka bersama dengan ahli akademik dan para pelajar siswazah dan pelajar Bacelor Senibina Landskap. Selain itu pihak fakulti turut mengambil kesempatan membawa Profesor Pelawat membuat kunjungan hormat ke Pejabat Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Program lawatan bermula dengan Kolokium Landskap yang telah berlangsung dengan jayanya pada 25 Jun 2024 dengan tema bertajuk Urban Natures and the Four Natures Concept. Prof. Emeritus Dr. Eckart Lange membincangkan definisi dan empat konsep alam semulajadi dan persekitaran hijau bandar dari perspektif falsafah. Selain itu, topik ini membincangan bagaimana persepsi masyarakat terhadap alam semulajadi berubah seiring peredaran zaman. Bermula dengan konsep Nature Wilderness - Agriculture & Productive Landscape – Designed Nature – Ruderal landscape/disturbed land yang menekankan ecological aesthetic. Selain Prof Pelawat Kehormat, 2 panel lain turut berkongsi kepakaran masing-masing dalam kolokium tersebut, iaitu Prof Madya Ts Gs Dr. Mohd Johari Mohd Yusof, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina yang menyampaikan topik AI Revolutionizing Environmental Monitoring dan juga LAr Norliza Mohd Yusof dari Cloustan Design Sdn Bhd, berkongsi topik berkenaan ESG, Environmental Social and Governance – Driving towards sustainable landscape development.

Program diteruskan dengan lawatan teknikal ke Gamuda Cove pada 26 Jun 2024 yang merupakan sebuah program kolaborasi pihak Jabatan Senibina Landskap bersama industri iaitu pihak Gamuda Parks di bawah MoU Gamuda dan UPM. Para peserta yang terdiri daripada para pensyarah dan pelajar FRSB serta pihak industri telah diberikan taklimat oleh pihak pemaju Gamuda Parks dan pendedahan secara langsung tentang pembangunan di Gamuda Cove yang berteraskan ”Pembangunan Mampan” melalui pelbagai aspek pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, infrastruktur hijau dan rekabentuk ekologikal yang mempunyai pelbagai fungsi ke arah pesekitaran hijau bandar. Selesai lawatan teknikal di Gamuda Cove, Prof. Eckart di bawa ke Ladang Saudagar Nanas bagi melihat contoh potensi pertanian yang dikembangkan kepada Agro-tourism yang mengetengahkan hasil jualan produk berasaskan nanas di cafe yangdibangunkan di dalam ladang nanas.
Hari ketiga program iaitu 27 Jun 2024 telah diadakan sesi bersama kumpulan penyelidikan utama di Fakulti Rekabentuk dan Senibina yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Zairul Mohd Noor. Beliau berkongsikan misi dan visi penyelidikan dan inovasi fakulti bagi memperkasakan penyelidikan di Fakulti Rekabentuk dan Senibina. Antara kumpulan penyelidikan yang terlibat adalah kumpulan INSIDE; Built Environmnet Informatics (BEI); Translational Architecture (TransArch) dan Cultural Heritage and Islamic Design (WARIS). Sesi diteruskan dengan dialog berkenaan potensi geran daripada British Academy di United Kingdom yang boleh dimanfaatkan oleh kumpulan penyelidik di FRSB yang berminat. Antaranya ODA Challenge-Oriented Research Grants 2024, British Academy ODA Global Innovation Fellowships dan Visiting Fellowships 2025.
Sesi petang disambung dengan ceramah akademik oleh Prof. Eckart Lange bersama dengan PhD Council dan para pelajar siswazah di Fakulti Rekabentuk dan Senibina bertajuk From Research Proposal to Research Publication. Melalui ceramah ini, Prof. Eckart berkongsikan tips dan panduan yang memberikan manfaat kepada para pelajar siswazah terutama sekali pelajar Master Sains dan PhD dalam melaksanakan projek penyelidikan mereka seterusnya penghasilan penulisan yang berkualiti dan berimpak tinggi.
Prof. Eckart juga berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor diiringi Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina dan Ketua Jabatan Senibina Landskap dan sempat berkongsi tentatif program yang berlangsung sepanjang lawatan beliau ke FRSB selain peluang berkolaborasi dengan Jabatan Senibina Landskap, University of Sheffield. Pada sebelah malam, program diteruskan dengan sesi perbincangan tertutup di antara wakil pengurusan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, diketuai oleh Tuan Dekan, Prof Madya Ts Gs Dr. Mohd Johari Mohd Yusof dan penasihat LAr Ts Dr. Osman Mohd Tahir serta AJK yang terlibat dengan program lawatan tersebut.
Hari terakhir profesor pelawat kehormat di Fakulti Rekabentuk dan Senibina diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu dan kepakaran beliau bersama para pelajar Bacelor Senibina Landskap di bilik seminar serta terbuka kepada semua warga UPM melalui platform Facebook Live. Topik yang dikongsikan adalah Landscape Representation and Sensory Dimensions of Landscape Perception yang memfokuskan kepada persepsi dan pengalaman landskap serta transformasi dalam representasi dan komunikasi landskap bagi mencapai keperluan dan kepuasan dikalangan masyarakat umum.
Date of Input: 19/08/2024 | Updated: 20/08/2024 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR
tdaafrsb@upm.edu.my