MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) DAN UNIVERSITAS WARMADEWA (UNWAR)
Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Zairul Mohd Noor

BALI, 21 Ogos 2024 - Pada 21 hingga 23 Ogos 2024, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Zairul Bin Mohd Noor telah dijemput untuk melawat Universitas Warmadewa (UNWAR) di Bali, Indonesia. Lawatan ini menandakan satu pencapaian penting dalam mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua universiti, terutamanya dalam bidang akademik dan penyelidikan. Antara agenda utama dalam lawatan tersebut adalah tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universitas Warmadewa (UNWAR). MoU ini bagi memperkukuhkan kerjasama antara UPM dan UNWAR, dengan tujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam akademik dan penyelidikan serta membuka jalan kepada projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan pensyarah, serta program pendidikan kolaboratif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua universiti.
Dr. Zairul juga diberi penghormatan untuk menyertai "Rakernas dan Munas APTARI 2024," iaitu mesyuarat nasional dan kongres Persatuan Pendidikan Tinggi Swasta Indonesia (Asosiasi Penguruan Tinggi Arsitektur Republik Indonesia - APTARI). Acara yang berprestij ini diadakan bersempena dengan lawatan tersebut di mana telah menghimpunkan pemimpin dari hampir 160 sekolah seni bina di seluruh Indonesia. Semasa mesyuarat APTARI, Dr. Zairul telah terlibat dalam perbincangan berkaitan potensi kerjasama dengan lebih daripada sepuluh sekolah seni bina di seluruh Indonesia. Perbincangan ini menumpukan kepada kerjasama masa depan, termasuk kemungkinan lawatan oleh pensyarah dan pelajar Indonesia ke Malaysia untuk tujuan akademik dan penyelidikan.Di samping itu, Dr. Zairul juga berpeluang mempromosikan Jurnal ALAM CIPTA, yang merupakan jurnal yang berindeks Scopus dari UPM. Beliau menekankan kepentingan jurnal ini dan menggalakkan penyerahan karya dari para sarjana Indonesia. Dr. Zairul turut berkesempatan mempromosikan 1st International Conference on Social Innovation in Design and Built Environment (SiDe) 2025 yang dijadualkan pada Februari 2025, dengan menjemput peserta dari institusi-institusi Indonesia untuk turut serta di dalam persidangan tersebut.
Date of Input: 09/09/2024 | Updated: 18/09/2024 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR
tdaafrsb@upm.edu.my