Arca Jerami Padi “Ada Padi Masak, Adalah Pipit”, Sebuah Karya Seni Awam Yang Menyentuh Erti Kehidupan Masyarakat Oleh Pengkarya FRSB | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» NEWS » Arca Jerami Padi “Ada Padi Masak, Adalah Pipit”, sebuah karya seni awam yang menyentuh erti kehidupan masyarakat oleh pengkarya FRSB

Arca Jerami Padi “Ada Padi Masak, Adalah Pipit”, sebuah karya seni awam yang menyentuh erti kehidupan masyarakat oleh pengkarya FRSB

Dr. Mohd Fabian Bin Hasna & Dr. Noor Azizi Mohd Ali

Pada 22 sehingga 24 Julai 2022 yang lalu, sekumpulan pengkarya dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) telah menyertai Pertandingan Arca Jerami Padi bersempena Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang, bertempat di Kg Terus, Penanti, Pulau Pinang. Penyertaan yang julung kali ini telah memenangi  Anugerah Khas Exco.

Arca jerami padi ini telah diilhamkan dari peribahasa “Ada Padi Masak, Adalah Pipit” yang membawa maksud “di mana ada peluang rezeki di situlah khalayak akan berkumpul”. Tema ini bertepatan dengan suasana bendang yang menjadi tempat orang ramai berkumpul mencari rezeki. Secara dasarnya, bentuk arca ini diambil daripada alat banting padi iaitu sebuah alat traditional yang digunakan untuk memisahkan buah padi daripada tangkainya.

Tema arca ini juga dipilih bagi mengupas isu pendemik Covid-19 yang mengesankan masyarakat Malaysia, terutamanya golongan marhaen. Burung Pipit yang berterbangan melambangkan keadaan rakyat biasa yang bertebaran mencari rezeki dalam segala kepayahan.

Manakala burung Pipit yang besar dibahagian bawah adalah perlambangan kepada golongan kayangan atau pemimpin yang tidak terkesan dan masih bersenang lenang. Burung Pipit bersaiz besar itu juga melambangkan harapan masyarakat kepada pemimpin di dalam mengatasi masalah dari kesan Pandemik Covid-19.

Seni adalah sesuatu yang perlu dihayati dan dialami, jesteru itu pengolahan arca terbentuk dari ruang-ruang yang misteri dan penuh ekspressi. Laluan ruang-ruang kecil di arca ini membentuk ruangan kontemplasi ketidaktentuan masa depan, kepayahan dan kesukaran yang dihadapai oleh rakyat.

Keseluruhan pengolahan arca ini mengundang khalayak untuk berhenti sejenak dan berfikir tentang kesan yang dihadapi rakyat kebanyakan akibat Pandemik Covid-19. Justeru itu ia sekaligus mencetuskan emosi dan memori pada apa yang telah berlaku.

 

 

Date of Input: 08/09/2022 | Updated: 08/09/2022 | uswahhasanah

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXENPAm~