SEJARAH PENUBUHAN FAKULTI | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» MENGENAI KAMI » SEJARAH FAKULTI » SEJARAH PENUBUHAN FAKULTI

SEJARAH PENUBUHAN FAKULTI

Idea penubuhan Fakulti Rekabentuk dan Senibina di UPM bermula dengan satu kertas cadangan bertajuk "Cadangan Penubuhan Fakulti Hortikultur dan Seni Bina Landskap" yang dicadangkan kepada Fakulti Pertanian pada tahun 1976. Walau bagaimanapun idea ini tidak mendapat sambutan lanjut oleh pentadbiran fakulti berkenaan ketika itu. Sungguhpun begitu sekumpulan tenaga pengajar dalam bidang Seni Bina Landskap telah diambil pada tahun 1980 untuk mengajar "kursus-kursus landskap" dalam program sarjana muda dan juga diploma pertanian. Kursus landskap pertama mula ditawarkan pada tahun 1984. Ia adalah kursus bernilai 3 jam kredit dan bertajuk "Pendekatan Reka Bentuk Landskap". Kursus ini merupakan kursus yang popular dan telah berjaya menarik minat ramai pelajar pertanian yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang Seni Bina Landskap diperingkat pra- dan pasca-siswazah. Ramai pula daripada graduan ini kemudiannya pulang ke tanah air sebagai pengamal Seni Bina Landskap yang berjaya ataupun menjadi ahli akademik di beberapa institusi pengajian tinggi Negara.

Pada tahun 1991, Fakulti Kejuruteraan, UPM mencadangkan penawaran program Seni Bina. Walau bagaimanapun idea yang dicadangkan ini tidak dapat dimajukan sehinggalah Fakulti Pertanian diberikan tanggung jawab oleh pihak pengurusan UPM untuk mengkaji kemungkinan menawarkan program Seni Bina dan Seni Bina Landskap di UPM. Suatu jawatankuasa telah ditubuhkan di Fakulti Pertanian pada tahun 1994 dan pada tahun 1995 cadangan bagi penubuhan sebuah fakulti baru yang akan menawarkan program pengajian dalam reka bentuk dan seni kreatif telah dimajukan ke pada pihak Naib Canselor UPM. Dengan sokongan kuat pihak pengurusan universiti, penubuhan Fakulti Rekabentuk dan Senibina telah diluluskan oleh Senat UPM, Lembaga Pengarah UPM dan seterusnya Kementerian Pelajaran Malaysia.

Fakulti baru ini telah ditubuhkan secara rasminya pada 26 Jun 1996 dan memulakan operasi dengan penawaran program Bacelor Seni Bina Landskap dan Master Seni Bina Landskap dibawah Jabatan Seni Bina Landskap yang baru juga ditubuhkan. Seterusnya, Jabatan Seni Bina ditubuhkan pada tahun 1999 dan diikuti dengan Jabatan Reka Bentuk Perindustrian pada tahun 2002. Walaupun fakulti ini memulakan operasinya hanya daripada beberapa bangunan kayu usang bekas semaian tumbuhan hortikultur, ia sekarang mempunyai sebuah kompleks bangunan-bangunan moden bagi menempatkan para staf dan pelajarnya dan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan terkini. Fakulti mula mengambil kumpulan pelajarnya seramai 40 orang. Pada hari ini ia telah berkembang pesat sehingga mempunyai lebih daripada 400 orang pelajar mengikuti 5 program diperingkat bacelor, master dan juga doktor falsafah (PhD.)


 

 

Kemaskini:: 08/09/2017 [i_nuzrad]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
B1566250869