Tiga Sukarelawan UPM Hasilkan Pelindung Muka COVID-19 Untuk Hospital | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » Tiga sukarelawan UPM hasilkan pelindung muka COVID-19 untuk hospital

Tiga sukarelawan UPM hasilkan pelindung muka COVID-19 untuk hospital

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG, 28 Mac –  Sukarelawan yang terdiri daripada dua pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka atau face shield di rumah masing-masing untuk keperluan petugas barisan hadapan yang memerangi wabak koronavirus (Covid-19) di beberapa buah hospital di Lembah Kelang.

Projek menghasilkan pelindung muka itu hasil inisiatif Ts. Dr. Mohd Shahrizal Dolah, Dr. Saiful Hasley Ramli dan pelajar pasca siswazah, Mohd Firuz Mohd Anwar, ketiga-tiganya dari Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM sejak 25 Mac lalu.

Menurut ketua kumpulan, Ts. Dr. Mohd Shahrizal Dolah, mereka merupakan sukarelawan yang menggunakan perbelanjaan sendiri dan lebihan bahan-bahan dari geran penyelidikan rakan pensyarah lain yang disumbangkan oleh Dr. Siti Mastura Ishak, Fabian Husna dan Dr. Velu Perumal.

Katanya kumpulan mereka juga mendapat sumbangan peralatan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 3D Printing Malaysia Community for COVID 19 (Group) yang turut diagihkan kepada sukarelawan kumpulan lain yang membuat kerja-kerja percetakan di rumah.

“Antara hospital yang medapat sumbangan pelindung muka hasil reka bentuk pasukan itu ialah Hospital Pengajar UPM (HUPM) yang berperanan sebagai makmal ujian Covid19 untuk mengesan kes awal, Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

“Pasukan kami bertiga tidak menang tangan dan hanya berupaya menghasilkan 45 keping pelindung muka sehari. Setakat hari ini kami telah menghasilkan 180 keping pelindung muka yang telah diedarkan ke hospital-hospital.

“Pada mulanya produk kumpulan kami dihantar  ke hospital terlibat dengan jumlah kecil berdasarkan jumlah permintaan tetapi lama kelamaan permintaan semakin tinggi dan kesemua kumpulan yang terlibat dengan 3D Printing Malaysia Community membekalkan penutup muka mengikut hospital di wilayah yang ditetapkan,” katanya. 

Dr. Shahrizal berkata bahan yang digunakan dalam menghasilkan penutup muka ialah menggunakan plastik percetakan 3D printing iaitu PLA dan ABS utk membuat  frame penutup muka(reusable), plastik nipis penutup buku 80gram (untuk penutup hadapan), gam, pita dan getah elastik.

“Untuk menghasilkan satu penutup muka ini akan mengambil masa sejam dan satu mesin cetakan 3 dimensi  boleh menghasilkan sebanyak 15 keping sehari. Kami bekerja dari rumah menggunakan secara konsep kerja Internet of Thing (IOT) di mana  semua data percetakan dikongsi menggunakan cloud yang boleh dimuat turun.

“Buat masa ini kami bertiga menggunakan tiga buah mesin cetakan 3 dimensi di rumah masing-masing serta mendapat bantuan produksi dari pasukan 3D printing Selangor.  Walau bagaimanapun, jika kami dapat menggunakan pemotong laser, penutup muka lebih cepat dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata permintaan dari klinik kesihatan dan hospital swasta sentiasa tinggi dan anggaran permintaan satu Malaysia dianggarkan dalam 5,000 keping sehari kerana kes semakin meningkat.

“Diharapkan lebih ramai sukarelawan yang akab mengambil inisiatif dalam menghasilkan pelindung muka ini dalam menghadapi gelombang Covid-19 yg ke 3,” katanya. - UPM

 

Tarikh Input: 31/03/2020 | Kemaskini: 31/03/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDcUAL~