Perekabentuk Proton Disanjung Kalangan Industri, Gembira Mengajar Di UPM | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » Perekabentuk Proton disanjung kalangan industri, gembira mengajar di UPM

Perekabentuk Proton disanjung kalangan industri, gembira mengajar di UPM

SERDANG, 18 Julai  (UPM) –
Siapa yang tidak kenal Proton Saga yang memenuhi jalan raya Malaysia pada tahun-tahun 80-an dan 90-an tetapi tidak ramai ingat orang yang merekabentuk kereta yang menjadi ikon rakyat itu.

Beliau sebenarnya tidak dilupakan malah pada lewat bulan lalu, perekabentuk Proton itu, Haji Mohd Azli Abd. Rahim,63, menerima sanjungan rakan sebayanya dalam industri rekaan dengan diberikan anugerah  “Tokoh Ideation – Pereka 2013”.

Anugerah  “Tokoh Ideation- Pereka 2013” itu baru dicipta tahun ini oleh Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (Pereka)   lantasdiberikan kepada Hj Azali, seorang perintis yang belajar ‘rekaan industri’ ketika tidak ramai mengenali bidang berkenaan.

Kini beliau adalah seorang pensyarah khas di Universiti Putra Malaysia (UPM) memberikan tunjukajar mengimbangi kuliah akademik sekaligus mencurahkan kemahiran beliau kepada generasi muda.

Dengan pengalaman luas dan jaringan dalam industri terlibat, beliau turut memainkan peranan dalam membantu universiti penyelidikan ini  mengkomersialkan produk dan hasil penyelidikan lain.

Hj Azali memberitahu beliau begitu terharu dengan pemberian anugerah  itu yang diperkenalkan oleh Pereka sempena perayaan Hari Industri Rekaan Sedunia (WIDD) pada 29 Jun, 2013. Beliau menerima anugerah itu sebagai  menghargai pelbagai sumbangan perintis beliau di institusi akademik dan industri.

Pihak persatuan telah  menganjurkan majlis berkenaan di pusat beli-belah Publika di Solaris Dutamas dengan pameran rekaan unik produk prototaip dan proses pembangunan rekaan, di samping ceramah di kawasan awam setiap hari mulai 18 hingga 29 Jun. Ia bertujuan memberitahu orang ramai betapa luasnya bidang rekaan industri.

Di antara tajuk ceramah adalah “Rekaan Industri dan Pengurusan Rekaan”,  “Peranan Pereka Industri”, “Pemikiran Kreatif”, “Rekaan Perabot dan  Cabaran-cabaran Dihadapi”, “Rekaan Industri+Pengalaman dan Jenamaan”.

Pereka mempunyai lebih 500 ahli yang bekerja dalam pelbagai bidang rekaan industri seperti pembuatan perabot, aksesori kereta, pembungkusan dan perkakasan.

Kemuncak kepada majlis perayaan WIDD itu adalah penyampaian anugerah  Tokoh Idealion yang disampaikan kepada Haji Azali oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Industri (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamed Diah.

Hj. Azali, yang juga ahli Majlis Rekabentuk Malaysia di bawah MOSTI,  memberitahu bahawa pameran di Publika itu menarik perhatian ramai  pengunjung tidak seperti sewaktu beliau mendaftar diri untuk mengikuti pengajian rekaan industri.

“Ketika saya mendaftar untuk kursus berkenaan di Institut Teknologi Mara pada 1969, dulu dikenali sebagai ITM, tidak siapa tahu apakah itu  rekaan industri.

“Saya terpaksa mencari maklumat diperlukan dan mendapati ia adalah seni merekabentuk produk (seni campur sains) dan memandangkan saya pandai melukis dan gemar pada sains, saya terus mendaftar,” kata beliau.

Dilahir dan besar di Kota Bharu, dengan mendapat pendidikan di Sultan Ismail College sebelum menyertai ITM, beliau adalah di antara kumpulan perintis pelajar yang lulus diploma dalam rekaan industri.

Selepas itul beliau bertungkus-lumus berusaha mempersiapkan kerja sebelum menyerahkan hasilnya untuk membolehkan beliau diterima mengikuti pengajian kursus ijazah di Manchester Polytechnique (kini Manchester Metropolitan) di mana beliau memperolehi ijazah Sarjana dalam  Kejuruteraan Rekaan Industri.

Sebaik pulang dari UK, beliau menjadi seorang pensyarah dan kemudian pensyarah kanan di ITM (kini UiTM atau Universiti Teknologi Mara)  sebelum menyertai Hicom dan diberikan tugas merekabentuk kereta nasional pertama Malaysia atau model Proton Saga pertama.

Apabila Perusahaan Otomobil National Sdn. Bhd (Proton) ditubuhkan dengan  rasminya pada 7 Mei 1983 beliau dilantik sebagai ketua Jabatan  Penyelidikan dan Pembangunan (R & D). Beliau turut memainkan peranan dalam mengembangkan vendor tempatan untuk mengilang dan membekalkan  bahagian dan komponen kereta Proton buatan Malaysia itu.

Namun apabila isteri beliau disahkan mengalami kegagalan buah pinggang,  Haji Azali meletak jawatan untuk memberi sepenuh tumpuan dan masa menjaga isteri beliau itu.

Setelah isteri beliau meninggal dunia, Hj Azali akur akan arahan Tun Dr Mahathir Mohamed pada 1994 untuk memulakan rekaan Kenderaan Komersial Nasional Pertama dan mengetuai usaha menubuhkan Jabatan R & D untuk Inokom (Industri Otomotif Komersial), satu projek usahasama di antara sebuah syarikat Malaysia dengan Hyundai.

Beliau pernah dipelawa oleh UPM untuk menjadi profesor adjunk. Terkini beliau bertugas secara kontrak sebagai pensyarah khas di JabatanRekaan Industri, Fakulti Rekaan dan Senibina.

Hj Azali yang mempunyai lima anak dan tiga cucu begitu gembira mendapat peluang mengajar dan menyalurkan kemahiran beliau kepada generasi muda di universiti ini.

“Saya memperkenalkan cara Rapid Prototyping (RP) untuk menghasilkan model sebenar bagi projek-projek tahun akhir. Hasilnya amat membanggakanhingga pelajr-pelajar  sendiri pun begitu terkejut dengan daya kreatif dan keupayaan teknikal mereka,” katanya. – UPM

 

 

Tarikh Input: | Kemaskini: 09/06/2020 | susanty

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDdDAk~