Penilaian Landskap: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam penilaian visual landskap.
LAr. Mohd Nazri Saidon
Kecerdasan Buatan (AI) telah mencapai kemajuan ketara dalam pelbagai bidang. Malah tidak terkecuali penilaian visual landskap. Bidang ini dilihat penting yang melibatkan penilaian kesan visual ke atas perubahan dalam landskap untuk perancangan bandar, pemuliharaan alam sekitar mahupun pembangunan infrastruktur. Kaedah tradisional sedia ada walaupun berkesan namun tersimpan kekurangan tertentu seperti bergelut dengan subjektiviti, kekangan masa, dan jumlah data yang banyak. Kemajuan teknologi AI ketika ini bersedia untuk menangani isu di atas dengan menawarkan penyelesaian inovatif untuk membuat keputusan yang lebih baik.
Satu cabaran utama dalam penilaian visual landskap ialah bersifat subjektif. Kebergantungan kepada manusia walaupun mempunyai kepakaran namun masih wujud perdebatan dari aspek proses penilaian yang membawa kepada keputusan yang tidak konsisten. Sebagai contoh, menilai kesan visual projek pembinaan baharu pada landskap semula jadi boleh berbeza-beza pandangan bergantung pada perspektif dan kemahiran individu. Ini berbeza dengan AI di mana, sistem Algoritma menyediakan pendekatan piawai untuk menilai perubahan visual. Dengan kata lain, model AI boleh menganalisis data visual secara objektif, memastikan konsistensi dan mengurangkan bias subjektif.
Satu lagi isu penting ialah kekangan secara tradisional yang memerlukan masa. Menyemak dan menganalisis set imej atau video yang besar secara manual adalah terkesan dari aspek tenaga kerja dan perlahan. Kelewatan ini boleh menghalang proses membuat keputusan tepat pada masanya, terutamanya dalam persekitaran pantas seperti pembangunan bandar atau tindak balas bencana. Teknologi AI boleh memproses sejumlah besar data visual dengan cepat. Contohnya, perisian pengecaman imej berkuasa AI boleh mengimbas imej satelit dengan cepat untuk menilai perubahan landskap, mengesan penebangan hutan atau memantau kawasan landskap bandar. Kepantasan ini bukan sahaja mempercepatkan proses penilaian tetapi juga membolehkan untuk membuat keputusan yang lebih dinamik dan responsif.
Ketepatan data juga merupakan isu kritikal untuk membuat keputusan yang sempurna. Kesilapan manusia boleh berlaku disebabkan oleh faktor keletihan atau kelalaian, yang
membawa kepada penilaian yang tidak tepat. Sistem AI, dengan keupayaan teknologi untuk mengendalikan tugas berulang kali tanpa keletihan dan konsisten dapat mengurangkan risiko ralat dengan ketara. Model AI lanjutan boleh mengesan perubahan kecil dalam landskap yang mungkin diabaikan oleh mata manusia, seperti corak hakisan, perubahan pada tumbuhan atau kualiti pandangan visual. Ketepatan data yang lebih tinggi ini diperlukan untuk memastikan data yang boleh dipercayai sebelum membuat penilaian.
Bagaimana memanfaatkan AI dalam penilaian visual landskap. Pertama, menyepadukan AI dengan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi meningkatkan ketepatan penilaian visual. GIS menyediakan konteks spatial, dan apabila digabungkan dengan keupayaan analisis AI, ia boleh menawarkan penceritaan yang lebih mendalam tentang perubahan landskap. Kedua, latihan berterusan dan pengemaskinian model AI adalah penting. Apabila landskap berkembang, sistem AI mesti didedahkan kepada data baharu untuk mengekalkan kaitan dan ketepatannya. Bekerjasama dengan pakar dalam ekologi, perancangan bandar dan landskap serta bidang berkaitan lain boleh memastikan model AI mengeluarkan pelbagai perspektif dan dapatan pengetahuan terkini. Ketiga, aspek ketelusan dalam proses membuat keputusan AI juga penting. Justeru, memahami cara sistem AI mencapai kesimpulan mereka perlu sentiasa dititikberatkan bagi membina kepercayaan sistem yang dibuat. Banyak lagi kaedah sistem AI yang tersedia yang boleh dimanfaatkan dalam penilaian visual landskap.
Kesimpulannya, teknologi AI diyakini dapat menambah baik penilaian visual landskap dengan menangani isu subjektiviti, penggunaan masa dan ketepatan data. AI membolehkan keputusan yang lebih cepat dan tepat ke arah pengurusan landskap mahupun pemelihraaan alam sekitar yang lebih bijak dan mampan. Walaubagaimana pun, teknologi AI juga mempunyai kelemahan tertentu, terutamanya aspek emosi dalam membuat keputusan. Oleh itu, apakah pandangan anda tentang perkara ini?.

Gambar hiasan penggunaan AI dalam bidang penialian visual
Tarikh Input: 16/07/2024 | Kemaskini: 16/07/2024 | marini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR