Pada masa ini apabila membuat kunjungan ke hospital, mungkin kita dapat melihat ruang landskap yang dilabelkan sebagai ‘Laman Terapi’. Ada yang berjaya, namun ada juga yang tidak. Ruang langskap yang dipenuhi tumbuhan, batuan untuk refeksologi dan ruang berteduh mungkin tidak boleh cukup untuk dianggap sebagai landskap terapi.
Kawasan hijau yang mempunyai ciri terapi sering menjadi pilihan apabila merekabentuk landskap terutamanya di institusi kesihatan. Dari segi sejarah, konsep landskap sebegini bermula dari institusi di Eropah yang menyediakan bantuan perubatan kepada pesakit. Landskap yang terdapat di institusi pada masa itu dipenuhi dengan tumbuhan untuk digunakan sebagai ubatan.
Landskap berciri terapi di institusi kesihatan didefinasikan sebagai ruang yang dibina dengan intervasi terapi melalui aktiviti, fasiliti dan dengan kerjasama pelbagai pakar dengan bertujuan membantu di dalam proses baik pulih. Di Malaysia, pelbagai kemajuan dari segi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat dilihat setiap tahun. Hakikat ini juga dapat dilihat di dalam usaha mengadakan kawasan luaran hijau di hospital kerajaan di setiap negeri. Institusi kesihatan swasta juga telah menyedari yang landskap yang menarik serta berciri terapi berpotensi menarik lebih pelanggan, selain dari perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.
Landskap luaran hijau yang dibina dengan baik bukan sahaja menyediakan pandangan menarik, tetapi ia juga mampu mengurangkan tekanan terutamanya kepada para pesakit. Banyak kajian telah membuktikan yang pendedahan kepada landskap berciri terapi mampu membantu baik pulih dan mengurangkan emosi yang bersifat negatif. Satu kajian di Amerika menunjukkan pesakit yang didedahkan kepada landskap sebegini mampu mengurangkan waktu tinggal di hospital berbanding dengan pesakit yang berada sepenuhnya di wad yang tiada pandangan ke arah landskap hijau.
Landskap terapi yang berjaya perlu direka sebagai kawasan luaran yang mampu berfungsi untuk menyokong pemulihan dan sebagai pencetus interaksi sosial disamping memberi penekanan dalam konteks psikologi dan fizikal mereka yang meggunakan landskap terapi tersebut.
Dari kajian yang dijalankan mengenai taman hospital di Malaysia oleh Universiti Putra Malaysia, beberapa keputusan awal dapat dikenalpasti mengapa landskap berciri terapi di institusi kesihatan tidak digunakan dengan sebaiknya.
Rekabentuk yang diaplikasikan kebanyakannya mengikut contoh dari negara barat yang beriklim sejuk dan pengguna yang sukakan cahaya matahari. Untuk negara seperti Malaysia, kemudahan yang diadakan di landskap terapi perlu boleh digunakan dalam pelbagai cuaca. Ruang berehat perlu disediakan teduhan dan kawasan pejalan kaki mempunyai bumbung yang menghubungkan bangunan dan taman di mana pengguna masih lagi boleh menggunakan kawasan taman pada masa cuaca panas ataupun hujan.
Pengguna dengan pelbagai keupayaan perlu diberi keutamaan untuk mudah sampai ke taman. Pengguna yang berkerusi roda, bertongkat, dan mereka yang kurang upaya sepatutnya boleh bergerak dengan mudah di taman tanpa bantuan. Faktor yang diambil mudah oleh mereka yang mempunyai keupayaan seperti longkang kecil di antara bangunan dan taman yang tidak ditutup di mana ini akan menghindari mereka yang berkerusi roda ataupun orang tua untuk melangkah ke taman. Permukaan pejalan kaki di taman juga perlu rata dan tidak menggunakan bahan batuan yang walaupun kelihatan cantik tetapi boleh menyukarkan golongan bertongkat serta berkerusi roda.
Maklumat mengenai adanya taman terapi serta lokasi yang jelas perlu diadakan untuk memberitahu para pengguna tentang wujudnya taman sedemikian. Antara cadangan yang boleh dibuat adalah maklumat mengenai lokasi taman ini boleh dimasukkan pada peta lokasi hospital. Ramai pengguna yang mengatakan mereka tidak tahu wujudnya taman sedemikian di hospital yang mereka kunjungi. Arahan ke taman juga boleh dimasukkan ke dalam brosur dan arahan perlu dalam bentuk paling mudah untuk faktor kemudahsampaian.