Naratif Perkembangan Landskap Kampus Hijau UPM: Penyelesaian Tadbir Urus Terhadap Isu Rekabentuk? | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Naratif perkembangan landskap kampus hijau UPM: Penyelesaian tadbir urus terhadap isu rekabentuk?

Naratif perkembangan landskap kampus hijau UPM: Penyelesaian tadbir urus terhadap isu rekabentuk?

Perkembangan fizikal kampus UPM Serdang pada masa kini telah dibentuk dan dipengaruhi oleh sejarah awal pendidikan tinggi negara, program pengajaran dan pembelajaran, pengembangan institusi serta hala tuju universiti yang menekankan keperluan untuk terus berdaya saing dalam dunia pendidikan tinggi. Pada suatu ketika, pembentukan fizikal kampus UPM yang melewati setengah abad ini telah mempunyai nilai “sense of place” yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kampus universiti awam yang terdapat di Malaysia. Ladang-ladang pertanian, padang ragut, dusun buah-buahan serta hutan buatan atau arboretum menjadi sebahagian besar daripada karakter landskap kampus yang dominan pada suatu tempoh masa yang agak lama. Namun, perubahan yang berlaku terhadap halatuju universiti dalam tempoh tiga dekad kebelakangan ini telah sedikit sebanyak merubah fungsi ruang, ciri fizikal serta nilai “sense of place” yang dahulunya amat signifikan dengan kampus UPM.

 

Perubahan terhadap semangat setempat ini turut disumbang oleh aplikasi rekabentuk landskap yang tidak mempunyai matlamat yang jelas serta bersifat “ad-hoc” dan “territorial”. Pendekatan ini bukan sahaja menyebabkan kelemahan terhadap kesatuan rekabentuk landskap malah ianya turut menjejaskan potensi persekitaran serta penggunaan sumber sedia ada. Kelemahan kesatuan landskap ini turut memberi impak negatif terhadap hubungan antara ruang hijau, kawasan rekreasi, bangunan akademik, kolej kediaman serta laluan penghubung yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada teras yang membina imej serta identiti persekitaran fizikal kampus UPM Serdang. Ketiadaan bahasa senibina yang jelas, penambahan struktur fizikal yang tidak mempunyai nilai rekabentuk serta isu-isu berkaitan penyelengaraan turut menjejaskan lagi suasana persekitaran kampus UPM Serdang ini.

 

Oleh yang demikian, terdapat keperluan bagi membangunkan satu perancangan strategik yang jelas bagi pembangunan landskap di UPM berdasarkan isu, sumber serta hala tuju semasa universiti. Melalui pelan tindakan yang bersesuaian, pelan strategik ini akan memberikan satu panduan kepada penyelesaian rekabentuk landskap demi mewujudkan suasana kampus yang lestari, anggun, berkualiti serta selamat. Perhatian juga perlu diberikan terhadap strategi perancangan landskap yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup mahasiswa, staf serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat. Disamping itu penekanan terhadap penjanaan semula landskap di kampus UPM perlu menangani isu-isu semasa seperti pemanasan global serta kesihatan mental dan bukannya bersifat estetik semata-mata. Dengan adanya perancangan strategik yang berwawasan serta mapan, ianyanya akan dapat membina kekuatan serta kesinambungan imej dan identiti UPM dalam tempoh yang lebih lama serta setanding dengan persekitaran landskap universiti yang ternama di dunia.

 

Terjemahan

  1. “sense of place” – semangat setempat
  2. “ad-hoc” – ad-hoc/kaedah sementara
  3. “territorial”- kedaerahan/wilayah
 
 
LAr. Dr. Shamsul Abu Bakar
Pensyarah Kanan,
Jabatan Senibina Landskap,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, 
Universiti Putra Malaysia
 

Tarikh Input: 30/12/2021 | Kemaskini: 30/12/2021 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEZDAZ~