Menggarap Dan Membangunkan Rekabentuk Ruang Guna Sama Dalam Bangunan Bagi Menangani Covid 19 | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» ARTIKEL » Menggarap dan Membangunkan Rekabentuk Ruang Guna Sama Dalam Bangunan Bagi Menangani Covid 19

Menggarap dan Membangunkan Rekabentuk Ruang Guna Sama Dalam Bangunan Bagi Menangani Covid 19

Dasawarsa ini, gelombang pandemik telah melanda dunia lantas merubah cara hidup, kerja, dan sosial. Implikasi perubahan tersebut menyebabkan rekabentuk ruang sedia ada dalam bangunan amat sukar untuk mengadaptasi norma baru kehidupan. Justeru, pendekatan yang lebih holistik perlu diambil perhatian dalam merekabentuk bangunan yang dapat mengekang penularan pandemik ini.

Dalam penulisan ini, saya ingin berkongsi pandangan dan pengalaman tentang keperluan rekabentuk bangunan yang memberi fokus kepada kesihatan awam. Menyusur sejarah pembangunan senibina, perubahan pemikiran dalam rekabentuk senibina ekoran kewujudan penyakit bukanlah perkara baharu. Antaranya, penyusunan semula infrastruktur di London, United Kingdom (1954) dan Haussaman, Paris (1850) ekoran epidemik Kolera.

Di Malaysia, secara amnya terdapat beberapa kluster Covid-19 yang dikesan melibatkan ruang guna sama antaranya kluster tempat kerja, dan kumpulan berisiko tinggi. Maka, amat penting rekabentuk difikirkan semula dengan memfokuskan kepada aspek kesihatan penghuni ruang. Susunatur ruang, sirkulasi, sistem pengudaraan semulajadi dan mekanikal (HVAC), kelengkapan bangunan, dan teknologi bangunan perlu direkabentuk untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit khasnya bagi bangunan yang melibatkan ruang guna sama.

Sepanjang tempoh pandemik , saya terlibat dalam penyediaan cadangan rekabentuk skematik bagi pejabat korporat, dan pusat rawatan pesakit berisiko tinggi dengan ruang guna sama. Sebelum pandemik, rekabentuk ruang pejabat terbuka yang minimalis menjadi pilihan klien. Namun dalam situasi semasa, susunatur pejabat terbuka dilihat berisiko dalam penyebaran penyakit bawaan udara. Kajian oleh South Korea’s Centers for Disease Control menunjukkan 94 pekerja dikesan positif covid-19 di sebuah pejabat dengan ruang pejabat terbuka yang menempatkan 216 pekerja. Kapasiti kependudukan dalam ruang (occupancy load), susun atur, dan pengasingan ruang kerja antara aspek rekabentuk yang perlu dikaji. Selain itu konsep ‘salutogenic’ dengan elemen ruang kerja persendirian, kualiti pengudaraan dan pencahayaan dalaman, serta fasad bangunan dengan pengudaraan semulajadi perlu diadaptasi dalam rekabentuk ruang pejabat.

Bagi cadangan rekabentuk pusat rawatan golongan berisiko tinggi, susunatur dibuat berpandukan garis panduan sediaada yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil kira bilangan kerusi, keperluan ruang seperti ‘triage’, rawatan dan fasiliti. Kewujudan kluster golongan berisiko tinggi di pusat-pusat rawatan ini memerlukan rekabentuk ruang yang lebih selamat antaranya ruang rawatan berisolasi/terhadang, mengoptimakan luas kawasan rawatan (person/area) dan ruang ‘triage’.

Rekabentuk bangunan sangat signifikan untuk mengekang penularan penyakit secara aktif melalui interaksi sihat antara pengguna dan ruang. Justeru, arkitek perlu mengkaji implikasi susun atur ruang, strategi pengudaraan, spesifikasi bahan, dan sistem kelengkapan bangunan yang berdaya tahan untuk mendepani pandemik ini.

 

 

 
 
Ar. Aznida Azlan
Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 18/08/2021 | Kemaskini: 18/08/2021 | arizy

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEZEA5~