Event Title
Program International MIDI Showcase 2025: Innovating Cultures, Empowering Lives yang dianjurkan oleh Program Master Inovasi Reka Bentuk Perindustrian (MIDI), Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra
Date
14 Oct 2025 - 15 Oct 2025
Location
Galeri Serdang, FRSB, UPM
Event Summary
Serdang, 14 Oktober 2025 – Program International MIDI Showcase 2025: Innovating Cultures, Empowering Lives yang dianjurkan oleh Program Master Inovasi Reka Bentuk Perindustrian (MIDI), Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia telah dirasmikan oleh Profesor Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia.
Program yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 14 dan 15 Oktober 2025, menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran hasil reka bentuk pelajar dan sesi bual bicara inspirasi Design Talk bertajuk “Innovating Cultures, Empowering Lives.â€
Sesi bual bicara ini menampilkan dua panel jemputan hebat, iaitu Dr. Muhamad Ezran Zainal Abdullah, Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Kelantan, dan En. Harith Ridzuan, Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif The Green Factory. Kedua-dua tokoh ini berkongsi pandangan tentang bagaimana reka bentuk berteraskan budaya dan inovasi mampu memperkukuh penghargaan terhadap warisan budaya, memupuk kelestarian, serta membuka peluang baharu dalam dunia keusahawanan kreatif.
Bertempat di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM, program ini turut menampilkan 16 hasil karya pelajar MIDI dalam tiga kluster utama: Produk, Perabot, dan Reka Bentuk Interaktif. Selain itu, program ini juga disertai oleh Hubei Institute of Fine Arts (HIFA) dari China yang mempamerkan hasil karya pelajar mereka sebagai simbolik kepada kolaborasi akademik antarabangsa dalam bidang reka bentuk.
Program International MIDI Showcase 2025 bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan inspirasi, malah memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri dalam memperkasa reka bentuk berasaskan budaya dan inovasi lestari.

Updated:: 17/10/2025 [marini]