MASTER SENI BINA LANDSKAP | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» AKADEMIK » PENGAJIAN SISWAZAH » MASTER SENI BINA LANDSKAP

MASTER SENI BINA LANDSKAP

 

 

 

 

Seni Bina Landskap telah disebut-sebut sebagai suatu profesion mesra alam bagi kurun ke 21 ini. Ia merupakan salah satu daripada profesion yang sedang berkembang pesat dinegara-negara maju. Arkitek Landskap pada hari ini memberi sumbangan utama dalam menyelesaikan isu-isu mengenai alam sekitar seperti perubahan iklim, pencemaran tanah, air dan udara; kemapanan bandar, pemuliharaan hutan, dan sebagainya diperingkat negara dan antarabangsa.

Seni Bina Landskap ialah suatu disiplin yang menggabungkan seni dengan sains untuk menyelesaikan isu-isu dalam alam semula jadi dan alam bina. Program akademik seni bina Landskap yang pertama di dunia telah ditawarkan di Harvard University lebih kurang 100 tahun lalu. Di Malaysia program pasca-siswazah Master Seni Bina Landskap (MLA) bermula pada tahun 1996 dan ditawarkan oleh Jabatan Seni Bina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia. Program ini merupakan satu-satunya program yang diiktiraf oleh Institut Arkitek Landskap, Malaysia (ILAM) buat masa ini.

Kebanyakan program Seni Bina Landskap di dunia menggabungkan pengetahuan akademik dengan kemahiran profesional membawa kepada para graduan menceburi kerjaya sebagai seorang pengamal professional ataupun kerjaya akademik. Graduan daripada program MLA yang diakreditasi boleh dipertimbangkan untuk ditauliahkan sebagai seorang Arkitek Landskap profesional oleh badan pelesenan professional di negara masing-masing.

Arkitek Landskap ialah seorang ahli professional terlatih yang merancang, mereka bentuk serta mengurus sesuatu Landskap. Arkitek landskap menggunakan kemahiran perancangan dan reka bentuk landskap untuk membentuk persekitaran hidup berkualiti yang berharmoni dengan alam semula jadi. Fokus utama Seni Bina Landskapadalah untuk mencipta keseimbangan diantara keperluan dan kehendak manusia dengan kekangan alam semula jadi melalui perancangan dan reka bentuk yang sensitive dan bijak. Justeru itu arkitek landskap boleh menyumbang kepakaran mereka dengan menasihati klien cara terbaik untuk merancang dan mereka bentuk ruang berskala kecil dan besar seperti laman rumah, taman awam dan juga kawasan perumahan mesra alam dan mesra manusia. Arkitek landskap juga dijemput untuk memberikan kepakaran mereka dalam kumpulan perunding pelbagai disiplin untuk merancang kawasan bandar berskala besar seperti Putrajaya, Cyberjaya, Nusajaya, dll. Terdapat juga arkitek landskap yang menasihati ahli perhutanan mengenai strategi pembalakan terbaik yang dapat mengekalkan keindahan pemandangan hutan dan juga dalam mereka bentuk hutan-hutan lipur. Arkitek landskap juga mereka bentuk pinggiran pantai dan sungai seperti Pinggiran Sungai Kuching (Kuching Waterfront) dan Pinggiran Lumut (Lumut Waterfront). Kepakaran mereka juga diperlukan dalam menyediakan kawasan yang sesuai untuk tapak bersejarah, kawasan lembab binaan (constructed wetlands), koridor sungai, pengawalan cerun secara kejuteraan biologi dan sebagainya.

Pada masa yang sama terdapat ramai pula graduan seni bina landskap yang memilih untuk terlibat secara lansung atau tidak lansung dalam pengajaran dan penyelidikan di universiti, kolej komuniti dan juga sekolah-sekolah.

Program Master Seni Bina Landskap di UPM telah lama diwujudkan iaitu sejak tahun 1996 lagi serta ia merupakan satu-satunya program peringkat master yang diakreditasi oleh Institute Arkitek Landskap, Malaysia (ILAM). Ini bermakna graduan MLA UPM layak dipertimbangkan sebagai ahli korporat ILAM dan dibenarkan bekerja sebagai seorang Arkitek Landskap di Malaysia.

Program MLA di UPM mempunyai tenaga pengajar yang bertauliah serta berpengalaman daripada kalangan pensyarah di Jabatan Seni Bina landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM serta disokong pula oleh ahli professional bersekutu daripada firma-firma terkenal dari dalam dan luar Lembah Kelang.

Fakulti Rekabentuk dan Senibina juga menyediakan persekitaran yang dapat meransang pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar mempertingkatkan daya kreatif mereka disamping membina kemahiran professional dan kemahiran hidup masing-masing. Studio pengajaran yang selesa, bilik-bilik kuliah yang lengkap, makmal-makmal komputer, bengkel pembinaan, dll. disediakan untuk kegunaan para pelajar MLA. Fakulti ini dan juga UPM juga mempunyai koleksi tumbuhan landskap terbesar diantara universiti-universiti di Malaysia.

Program Master Seni Bina Landskap UPM menerima calon-calon yang memiliki ijazah Bacelor Seni Bina Landskap yang diiktiraf atau ijazah bacelor BUKAN Seni Bina Landskap seperti seni bina, perancangan, kejuruteraan, pertanian, perhutanan, sains alam sekitar, dll.

Calon daripada luar negara perlu menyemak dengan Sekolah Pengajian Siswazah UPM untuk mendapatkan keperluan syarat Bahasa Inggeris dan lain-lain keperluan.

Para pelajar MLA dikehendaki melengkapkan 62 kredit untuk bergraduat. Dalam keadaan biasa ini mengambil masa 5 semester. Pelajar dikehendaki membayar yuran kredit dan juga yuran semester. Mereka juga diperlukan untuk membayar sendiri kos lawatan lapangan, alat menulis dan melukis termasuk bahan melukis untuk pembentangan hasil kerja. Anda perlu menghubungi kami untuk mendapatkan pecahan terperinci yuran berkaitan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-

Penyelaras Program Master Senibina Landskap (MLA)
DR. MOHD FAIRUZ SHAHIDAN
Telefon: 03 - 9769 4082
Emel: mohdfairuz@upm.edu.my

atau

Pejabat Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah)
Telefon: 03 - 9769 4087
Emel: pgfrsb@upm.edu.my / alis@upm.edu.my

       

 

 

Kemaskini:: 15/05/2019 [mn_norsyidah]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
B1566647577