25 TREE FOR LIFE | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» 25 TREE FOR LIFE

25 TREE FOR LIFE

25 Tree for Life 

  1. Idea pewujudan sebuah fakulti bagi reka bentuk dan seni bina bermula seawal tahun 1976 lagi di UPM. Suatu kertas cadangan bagi penubuhan sebuah fakulti baharu yang diberi nama Fakulti Hortikultur dan Seni Bina Landskap telah disediakan oleh pensyarah Fakulti Pertanian, Universiti Pertanian Malaysia iaitu Prof. Dr. Ibrahim Mohd Yusuf. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan.

  2. Pada awal 1980an Jabatan Agronomi dan Kulturakebunan, Fakulti Pertanian telah mengambil seorang pensyarah, En. Mustafa Kamal Mohd Shariff yang mempunyai latar belakang pendidikan peringkat master dalam bidang hortikultur hiasan dan reka bentuk landskap. Hasratnya pada ketika itu adalah untuk menawarkan kursus berkaitan hortikultur landskap dan sebagai memenuhi hasrat itu, suatu kursus elektif bertajuk “AGRO 472: Pendekatan kepada Landskap” (An Approach to Landscape) telah ditawarkan kepada pelajar Bacelor Sains Pertanian. Kursus berkenaan telah menarik minat beberapa orang graduan program berkenaan yang kemudiannya telah melanjutkan pengajian mereka dalam bidang Seni Bina Landskap di luar negara. Mereka ini kemudiannya menjadi arkitek landskap profesional dan juga ahli akademik terawal dalam bidang senibina landskap di negara ini.

  3. Apabila Jabatan Agronomi dan Hortikultur di Fakulti Pertanian menawarkan program pengajian Bacelor Sains Hortikultur (Bachelor of Horticulture Science) pada pertengahan 1980an, terdapat dua lagi kursus berkaitan senibina landskap telah ditawarkan sebagai kursus elektif. Dua kursus ini adalah Pengenalan Seni Bina Landskap (Introduction to Landscape Architecture) dan Pembinaan dan Pengurusan Landskap (Landscape Construction and Management). Penawaran Kursus Pengenalan Seni Bina Landskap ini juga telah di buka kepada program pengajian lain seperti Bacelor Perhutanan dan Bacelor Ekonomi. Ini adalah sebagai memenuhi permintaan terhadap bidang kesenibinaan landskap yang semakin meningkat rentetan usaha pihak kerajaan untuk membangunkan landskap negara seimbang dengan pembangunan fizikal lain.

  4. Pada masa yang sama, Jabatan Agronomi dan Hortikultur telah menghantar beberapa orang lagi pensyarah untuk melanjutkan pengajian mereka diperingkat sarjana dalam bidang seni bina landskap diluar negara diantaranya Puan Noorizan Mohamed (Iowa State U. dan University of Pensylvania), En. Nordin Abdul Rahman (University of Newcastle Upon Tyne) dan En. Nor Azam Shuib (University of Georgia). Sementara itu seorang pegawai pertanian di Bahagian Ladang, UPM iaitu Pn. Nor’ain Rejab juga telah dihantar untuk mengikuti program Sarjana dalam bidang Seni Bina Landskap di Harvard University. Kesemua mereka telah berjaya menamatkan pengajian dan dan kembali bertugas semula di Fakulti Pertanian dan Bahagian Ladang.

  5. Pada penghujung 1980an, En. Mustafa Kamal Mohd Shariff telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran di Colorado State University, Amerika Syarikat. Disamping itu, pada awal 1990an seorang lagi Pegawai Pertanian dari Bahagian Ladang, En. Osman Mohd Tahir telah dihantar untuk melanjutkan pengajian diperingkat sarjana dalam bidang Seni Bina landskap di University of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom dan En. Abd Aziz Othman seorang tutor Fakulti Pertanian juga telah melanjutkan pengajian peringkat sarjana di dalam bidang Seni Bina Landskap di Edinburgh University, United Kingdom.

  6. Dengan kembalinya beberapa pensyarah dan pegawai dengan ijazah sarjana dan kedoktoran pada pertengahan tahun 1990an dan melihat kepada sambutan terhadap program seni bina landskap serta keperluan tenaga kerja negara pada masa itu, satu perbincangan telah diadakan dengan University of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom berkenaan dengan penubuhan sebuah fakulti yang boleh menawarkan program pengajian bukan saja dalam bidang seni bina landskap tetapi juga dalam bidang seni bina dan bidang reka bentuk yang lain. Tujuan murni ini disemarakkan lagi dengan perubahan nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia dalam usaha menjadikan UPM sebagai sebuah universiti yang komprehensif pada tahun 1996. Ini telah membuka peluang kepada penubuhan beberapa fakulti dan program baharu di UPM dan imej barunya sebagai selari dengan nama Universiti Putra Malaysia

  7. Semenjak tahun 1994, Dr. Mustafa Kamal Mohd Shariff, Dr. Noorizan Mohamed, Dr. Nordin Abdul Rahman, En. Nor’Azam Shuib dan Pn. Norain Rejab telah bekerja keras menyiapkan perancangan dan seterusnya kertas kerja penubuhan FRSB. Cadangan ini akhirnya telah mendapat kelulusan Senat UPM dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Maka pada 26 Jun 1996, Fakulti Rekabentuk dan Senibina ataupun singkatannya FRSB telah ditubuhkan dengan rasminya. FRSB pada tahun 1996 ini bermula dengan seorang Dekan, Timbalan Dekan, Pegawai Tadbir, Pegawai Pertanian serta dibantu oleh lima staf pelaksana. Dari segi fizikalnya pula, fakulti ini telah ditempatkan di kawasan Unit Hortikultur, Bahagian Ladang UPM di atas tanah seluas 167,000meter persegi. Diatas hasil usaha dan kejayaan ini, Dr. Mustafa Kamal Mohd Shariff, Dr. Noorizan Mohammed, Dr. Nordin Abdul Rahman, En. Norazam Shuib dan Pn. Nor Ain Rejab akan sentiasa diingati sebagai Pengasas Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM.

  8. Penubuhan FRSB telah membuka satu lembaran baru di UPM kerana buat pertama kalinya program yang berasaskan seni bina dan reka bentuk telah ditawarkan. Selain itu, penubuhan FRSB juga menyambut wawasan baru UPM yang mahu menjadikan UPM sebagai satu universiti yang komprehensif sifatnya. Diantara fungsi utama Fakulti Rekabetuk dan Senibina ialah untuk meneroka ilmu reka bentuk melalui aktiviti pengajaran, penyelidikan dan pengembangan ilmu melalui jaringan industri serta masyarakat. Bagi merealisasikan fungsi ini beberapa buah jabatan akademik telah ditubuhkan bermula dengan Jabatan Senibina Landskap pada tahun 1996, Jabatan Senibina pada tahun 2000, dan Jabatan Rekabentuk Perindustrian pada tahun 2001.

  9. Jabatan Senibina Landskap (JSL) telah ditubuhkan serentak dengan penubuhan FRSB dengan kekuatan 7 staf akademik dan 29 staf pelaksana. Penubuhan JSL bersama dengan penubuhan fakulti adalah selari dengan keadaan dimana kesemua pengasas FRSB adalah terdiri daripada pensyarah atau pegawai dalam bidang seni bina landskap. Ketua Jabatan yang pertama bagi Jabatan Senibina Landskap adalah, Puan Nor Ain Rejab. Pada tahun 1996 juga Jabatan Senibina Landskap telah menerima 2 lagi pensyarah iaitu En. Osman Mohd Tahir dan En. Abdul Aziz Othman.

  10. Jabatan Senibina Landskap mula menawarkan program Bacelor Senibina Landskap (BLA) pada Semester 1 (1996/1997). Oleh kerana kesuntukan masa untuk mendapatkan pelajar daripada lepasan matrikulasi ataupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kumpulan pertama BLA adalah merupakan para pelajar baharu yang telah mendaftar dalam program-program lain di UPM sendiri. Setelah melalui proses temuduga, seramai 35 pelajar telah dipilih. Mereka ini bukan hanya menjadi kumpulan pelajar pertama BLA tetapi juga kumpulan pelajar pertama FRSB.

  11. Jabatan kedua yang ditubuhkan selari dengan perancangan pembangunan FRSB seperti yang digariskan dalam kertas penubuhannya ialah Jabatan Senibina pada tahun 2000. Ini mengambilkira kesediaan fakulti dalam mengadakan ruang pentadbiran, pengajaran dan yang lebih penting kesediaan kurikulum seni bina dan tenaga pengajar yang mencukupi. Kurikulum awal seni bina telah dimulakan penggubalannya oleh seorang arkitek berjawatan kontrak berbangsa Iraq iaitu R. Shahab. 

  12. Ini telah diperbaiki selanjutnya dengan bantuan pensyarah yang baru diambil dan juga setelah mendapat pandangan suatu jawatankuasa penubuhan program Bachelor Rekabentuk (Senibina) yang dilantik oleh UPM dan terdiri daripada arkitek professional, ahli akademik bidang seni bina daripada universiti tempatan dan juga ahli akademik UPM dalam bidang berkaitan seperti kejuruteraan. Beberapa orang pensyarah yang berkelayakan telah diambil untuk melancarkan operasi jabatan ini dan diantara tenaga akademik terawal ialah Puan Rahinah Ibrahim, Puan Sumarni Ismail, Puan Wan Srihani Wan Mohamad, Puan Ida Suriana Ismail, En Mohd Fakry Zaky Jaafar dan En Nasir Baharudin. 

  13. Akhirnya, pada tahun 2000, Jabatan Senibina telah ditubuhkan secara rasmi dan diterajui oleh Prof. Ar. Ruslan Khalid dan serentak dengan penubuhannya, Jabatan Senibina telah menawarkan program Bacelor Rekabentuk  Senibina) pada Semester Pertama (2000/2001) dengan jumlah pengambilan pertama seramai 46 pelajar. Pada tahun 2004, Jabatan Senibina juga telah mula menawarkan program Bacelor Senibina dan seramai 5 orang pelajar telah mendaftar didalam program ini. Kedua-dua program di JS telah mendapat akreditasi Lembaga Arkitek Malaysia untuk LAM BHG I pada tahun 2006 dan untuk LAM BHG II pada tahun 2007 Jabatan Reka Bentuk Perindustrian (JRI) merupakan jabatan yang ketiga ditubuhkan di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, iaitu pada tahun 2002. 

  14. Dalam usaha untuk memulakan sesi pertama pengajian program ini, beberapa orang pensyarah telah diambil lebih awal bertujuan untuk merancang pembentukan kurikulum program. Diantara mereka adalah En. Hassan Hj. Alli, En.Badrul Azmi Abdul Holed, En. Mohd. Nazri Saad, En. Hasri Yunardi Hassan, En. Ahmad Rizal Abdul Rahman, En. Mohd Shahrizal Dollah, En. Ruhaizin Sulaiman dan YM Raja Ahmad Azmeer Raja Ahmad Effendi. En. Badrol Azmi Abdul Holed telah dilantik sebagai Ketua Jabatan pertama Jabatan Reka Bentuk Perindustrian dan mengetuai Jabatan Rekabentuk Perindustrian sehingga 2007. 

  15. Serentak dengan penubuhan Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Program Bacelor Reka Bentuk (Reka Bentuk Perindustrian) telah menawarkan pengajiannya yang pertama kepada seramai 29 orang pelajar, iaitu pada Semester Pertama sesi 2002/2003. Untuk memastikan kualiti pengajian dan pembelajaran (P&P) sentiasa dipertingkatkan selari perkembangan pendidikan di Malaysia dan permintaan dari pihak industri, pada tahun 2011, kurikulum program Bacelor Reka Bentuk (Reka Bentuk Perindustrian) telah dikemaskinikan dan ditambah tempoh pengajiannya daripada tiga (3) tahun kepada empat (4) tahun. Kini, program Bacelor Reka Bentuk (Reka Bentuk Perindustrian) telah mencapai banyak kejayaan dan merupakan salah satu daripada program reka bentuk perindustrian di Malaysia yang menumpukan kepada memperkasakan kelestarian reka bentuk produk pertanian dan hijau.

  16. Pada tahun 1996, FRSB juga telah mula menawarkan program Master Secara Kerja Kursus melalui Jabatan Senibina Landskap dengan penawaran program Master Senibina Landskap (MLA) dengan pengambilan kumpulan pelajar pertama seramai 9 orang. Selaras dengan perkembangan pendidikan program senibina, program Bacelor Senibina telah dinaiktaraf kepada program Master Senibina dan Jabatan Senibina telah mula menawarkan program Master Senibina (MArch) mulai tahun 2016. Program master ini adalah secara kerja kursus dan kumpulan pelajar pertama adalah seramai 28 orang. 

  17. Pada tahun 2019, Jabatan Senibina Landskap telah mula menawarkan Master Pengurusan Landskap Mapan (MSLM) dengan pengambilan seramai 17 pelajar dan graduan program ini di jangka akan menjadikan pengurusan landskap negara lebih baik. Pada tahun 2020 pula, juga di bawah Jabatan Senibina Landskap, program Master Rekabentuk Bandar Tropika (MTUD) telah mula ditawarkan dengan pengambilan pelajar seramai 3 orang. Program ini di tawarkan selari dengan perkembangan perbandaran di Malaysia yang semakin pesat dan mencabar. Pada tahun 2021 pula, FRSB melalui Jabatan Rekabentuk Perindustrian akan menawarkan program Master Inovasi Rekabentul Perindustrian ataupun MIDI dimana graduan program ini akan menjadikan rekabentuk di Malaysia lebih berinovasi dan bermutu tinggi.

  18. Fakulti ini yang dahulunya bermula daripada beberapa bangunan kayu usang bekas semaian tumbuhan hortikultur sebagai bangunan pentadbiran, kelas dan bengkel; kini mempunyai sebuah kompleks bangunan-bangunan moden bagi menempatkan para staf dan pelajarnya siap dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan terkini. Warga kerjanya kini telah menjadi sebuah keluarga yang besar; 67 staf akademik dan 49 staf bukan akademik. Kumpulan pelajar pertamanya hanyalah seramai 40 orang namun kini telah berkembang pesat sehingga mempunyai lebih dari 900 orang pelajar mengikuti 3 program di peringkat bacelor, 5 program master secara kerja kursus, program master (secara penyelidikan) dan juga program Doktor Falsafah (PhD.) 

CVFcWAW:22:22