PAMERAN KATA DAN RUPA : PENGHARGAAN BUAT SENI LISAN MELAYU DAN SENI TAMPAK MELAYU | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » PAMERAN KATA DAN RUPA : PENGHARGAAN BUAT SENI LISAN MELAYU DAN SENI TAMPAK MELAYU

PAMERAN KATA DAN RUPA : PENGHARGAAN BUAT SENI LISAN MELAYU DAN SENI TAMPAK MELAYU

Dr. Noor Azizi Mohd Ali

Pada 26hb Januari 2023, telah berlangsung pameran seni tampak yang bertajuk ‘Kata dan Rupa’ yang berlangsung di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia. Pameran ini mempamerkan siri lukisan atau karya tampak yang diterjemahkan dari peribahasa Melayu. Ia adalah hasil kajian yang dijalankan oleh Dr. Noor Azizi Mohd. Ali, pensyarah kanan di Fakulti Rekabentuk dan Senibina.

Pada majlis perasmian, kumpulan wayang kulit tradisional Kelantan yang diketuai oleh Muhammad Dain bin Othman atau lebih dikenali sebagai Pak Dain telah membuat persembahan yang cukup mempesona. Penceritaannya berkisar tentang liku-liku kehidupan anak seni yang terpaksa menempuh ranjau dan duri dalam mempertahankan seni warisan bangsa. Ini diikuti oleh deklamasi sajak oleh pelukis sendiri dengan sajak yang bertajuk ‘Arca dan Puisi’ nukilan Usman Awang. Tambah menarik bila pelawat juga disajikan dengan penceritaan dalam bentuk video tentang perjalanan penghasilan karya-karya tampak tersebut.

‘Kata dan Rupa’ adalah nukilan jiwa yang memperlihatkan keindahan peribahasa dalam bentuk tampak yang mempesona. Penggayaan tampak hiasan eklektik menjadi landasan di dalam pengolahan dan penyampaian naratif. Ianya memperlihatkan pengayaan yang bersahaja tanpa menggadaikan makna dan nilai pada pengkaryaan.

Peribahasa Melayu adalah satu ekspresi lisan yang terlahir dari pemerhatian dan pengamatan terhadap kehidupan dan persekitarannya.  Pengolahannya bukan sahaja begitu santun dan teratur malah mendidik serta menyedarkan tentang nilai-nilai kebaikan di dalam kehidupan harian. Adalah diharapkan pameran ini dapat membuka minda masyarakat dan warga kampus terutamanya di dalam menghayati dan menghargai seni lisan Melayu dan juga seni tampak Melayu ke arah penghayatan yang lebih dinamis, santun dan berkesan.

Tarikh Input: 17/03/2023 | Kemaskini: 17/03/2023 | uswahhasanah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEUAAw~