HEMOR Halau Nyamuk, Jadi Perhiasan Rumah | FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
» BERITA » HEMOR halau nyamuk, jadi perhiasan rumah

HEMOR halau nyamuk, jadi perhiasan rumah

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 12 Feb -  Bukan sekadar menghalau nyamuk, HEMOR (Sustainable Herbal Mosquito Lamp Repellent), alat yang direkacipta oleh sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) ini juga adalah satu bentuk perhiasan yang boleh menambahkan elemen menarik dan keceriaan di dalam rumah.

Ia mengeluarkan aroma yang menyegarkan untuk penghuni rumah tetapi dibenci oleh nyamuk dan sebahagian serangga yang berterbangan, bagi menghalau serangga berkenaan dari rumah.

Pensyarah kanan, Jabatan Rekebentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM, Dr Ruhaizin Sulaiman yang mengetuai projek menghasilkan inovasi itu berkata, HEMOR mengaplikasikan kaedah bahawa nyamuk boleh dihalau melalui bauan herba dan cahaya berwarna kuning.

Ia menggunakan ‘hot plate’ untuk memanaskan bahan formula herba termasuk serai dan kulit limau yang akan mengeluarkan aroma yang sangat dibenci oleh nyamuk.

Pada masa yang sama, lampu kalimantang (fluorescent) bersaiz kecil berwarna kuning yang dipasang di tengah-tengah HEMOR mengeluarkan jajaran cahaya cantik yang terpancar melalui lubang pelbagai saiz yang ditebuk pada struktur dinding HEMOR, yang bertindak menghalau nyamuk kerana serangga itu tidak menyukai warna cahaya berkenaan.

Dr Ruhaizin berkata, ketika kajian dilakukan, alat itu yang menggunakan kuasa elektrik dipasang pada waktu nyamuk diketahui aktif iaitu antara jam 5 petang dan 8 malam, serta dari 5 pagi hingga 8 pagi, dan hasil kajian mendapati nyamuk tidak masuk ke rumah.

Katanya, serai atau kulit limau yang sudah dikeringkan diletakkan di dalam ‘hot plate’, dan bahan itu akan mengeluarkan aroma sebaik ‘hot plate’ itu dipanaskan. Manakala termostat berfungsi mengawal suhu ‘hot plate’.

HEMOR berbentuk seperti silinder dan diperbuat menggunakan ‘akrilik’ sebagai bahan utama serta ditebuk lubang di sekelilingya untuk laluan cahaya keluar. Bahagian tengah diletakkan lampu kalimantang 20 watt berwarna kuning. Dua keping plat akrilik dipasang di bahagian bawah sebagai tapak dan di bahagian atas sebagai penutup.

Nyamuk dalam lingkungan jarak radius 20 hingga 30 kaki akan terkesan dengan alat itu apabila ia dipasang. 

Dengan ketinggian 800mm dan lebar 380mm serta rekabentuknya yang berkonsepkan kontemporari, HEMOR bukan sekadar satu inovasi untuk menghalau nyamuk tetapi juga satu bentuk barang perhiasan ruang tamu rumah, yang sesuai dipadankan untuk sama ada rumah bentuk moden atau kampung.

HEMOR memenangi pingat gangsa pada Pameran Rekacipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012, dan sudah didaftarkan dengan Pendaftar Rekabentuk Perindustrian (Industrial Design Registration). - UPM

 

 

 

Tarikh Input: 26/02/2018 | Kemaskini: 26/02/2018 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXDdMAN~